Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
AirAsia catat kejatuhan terbesar dalam sehari
Diterbitkan:  Dec 29, 2014 8:29 PM
Dikemaskini: 3:34 PM

Saham AirAsia Bhd mencatat penurunan terbesar dalam masa sehari dalam tempoh lebih tiga tahun selepas sebuah pesawat syarikat sekutunya hilang semalam.

Pada penutup saham syarikat penerbangan tambang rendah itu susut 25 sen atau 8.5 peratus kepada RM2.69, dengan 103.02 juta saham bertukar tangan.

Kehilangan pesawat yang sedang dalam penerbangan ke Singapura dari Indonesia itu turut menjejaskan kaunter-kaunter berkaitan AirAsia, seperti syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh AirAsia X Bhd dan penyedia insurans Tune Ins Holdings Bhd.

AirAsia X Bhd, susut 5.5 sen atau lapan peratus kepada 63 sen, dengan 39.26 juta saham bertukar tangan manakala saham Tune Ins merosot satu sen kepada RM1.75 dengan 14.96 juta saham didagangkan.

Affin Hwang Investment Bank berkata kehilangan pesawat sekutu AirAsia,  AirAsia Indonesia, dengan AirAsia mengusai 49 peratus kepentingan, mencetuskan kejutan ke atas harga saham syarikat penerangan tambang rendah berkenaan.

Dalam jangka panjang, ia berkata impak yang mungkin berlaku ialah kemungkinan reputasi dan jenama kumpulan itu terjejas, saingan tambang yang berterusan bagi menggalakkan jualan tiket selain penguncupan pulangan kumpulan itu.

"Berdasarkan andaian kami, setiap RM1 yang susut dalam jualan tiket secara purata, berpotensi menurunkan anggaran pendapatan 2015 sebanyak tiga peratus," katanya dalam nota kajiannya.

Affin Hwang Investment bagaimanapun terus yakin terhadap prosedur keselamatan dan rekod prestasinya.

Sambil menganggap ia sebagai tragedi malang, bank pelaburan itu percaya harga saham yang lemah akan memberi peluang untuk pelabur mengumpul saham syarikat itu.

Hong Leong Investment Bank (HLIB) dalam nota berasingan berkata insiden terbaru itu dijangkakan memberi impak mendalam ke atas sentimen perjalanan udara serantau selepas dua insiden sebelum ini yang membabitkan Malaysia Airlines masing-masing pada Mac dan Ogos.

"Unjuran kami bahawa permintaan perjalanan udara berpotensi pulih pada 2015 kini terjejas ekoran kejadian terbaru ini," katanya.

Bank pelaburan itu juga berkata ia kini beralih kepada unjuran yang lebih berhati-hati ke atas permintaan untuk perjalanan udara, sekurang-kurangnya dalam jangka terdekat, dan sebarang pemulihan hanya mungkin direalisasi pada 2016.

HLIB berkata walaupun liabiliti AirAsia dijangkakan ditanggung sepenuhnya oleh insurans tanpa impak langsung ke atas kewangannya, syarikat penerbangan itu dan sekutunya termasuk AirAsia X, dijangkakan mencatat hasil yang lebih rendah pada 2015 dalam usahanya merangsang permintaan untuk perjalanan udara walaupun menerima manfaat harga bahan api jet yang lebih rendah.

Ia menurunkan unjuran pulangan bagi tahun kewangan 2015 dan 2016 sebanyak lima peratus dan satu peratus, berikutan permintaan yang lemah.

"Ini menyebabkan pendapatan bagi tahun kewangan 2015-2016 diturunkan sebanyak 17.6 peratus dan 3.8 peratus," katanya.

Affin Hwang Investment mengekalkan saranan beli pada harga sasaran RM3.25 ke atas AirAsia.

Sementara itu, HLIB menurunkan saranan ke atas AirAsia kepada jual pada harga sasaran yang lebih rendah pada RM2.64.

- Bernama

Lihat Komen
ADS