Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Rata-rata penduduk di Pengerang, Johor berkata takut dan bimbang selepas dipindahkan bagi memberi laluan kepada Projek Petrokimia Bersepadu (Rapid) yang dibangunkan syarikat gas negara Petronas.

Penduduk tidak menduga akan berdepan masalah berterusan tanah mendap dan rekahan tanah tapak rumah di Taman Bayu Damai, tempat baru itu.

“Air hujan akan mengalir ke bawah rumah saya. Saya bimbang... tempat ini jadi sarang nyamuk jika menakung air,” kata Salman Abdullah ( kiri ) yang berpindah dari Kampung Sungai Kapal.

Kira-kira 400 penduduk di kampung itu berpindah ke Taman Bayu Damai mulai Mac tahu ini.

Kawasan pembangunan baru itu menjadi kawasan perumahan baru untuk penduduk yang terpaksa berpindah bagi memberi laluan kepada Rapid.

Menurut penduduk, sebanyak 1,200 rumah dibina di kawasan yang dulunya paya.

Berdasarkan tinjauan Malaysiakini dua minggu lalu, ramai penduduk menghadapi masalah sama.

Selain itu terdapat juga penduduk mendakwa belum mendapat geran untuk rumah baru mereka itu.

Kemudahan kedai, sekolah, masjid dan klinik juga masih belum cukup di kawasan itu.

Sementara itu, seorang pesara kerajaan Hamidun Ahmad ( bawah ) mendakwa pegawai kerajaan yang terlibat dalam projek itu serta kontraktor bangunan tidak cekap.

Dakwanya, walaupun banyak aduan dibuat, ia tidak dipedulikan,

“Mereka hanya suruh kami isi borang dan hantar ke pejabat. Mereka kata ia akan dibaiki dalam masa seminggu, sampailah sekarang,” dakwanya.

Menurut laporan kewangan Tebrau Teguh Sdn Bhd pada 2012, mereka dilantik oleh kerajaan Johor untuk menjadi kontraktor untuk projek Taman Bayu Damai.

Syarikat itu kemudian dinamakan semula sebagai Iskandar Waterfront City Sdn Bhd.

Ia juga salah satu kontraktor terlibat untuk pembinaan Waterfront City di Iskandar, Johor.

Berdasarkan laporan itu, projek perumahan itu bernilai RM520 juta.

Malaysiakini masih belum mendapatkan reaksi syarikat kontraktor itu walaupun telah beberapa kali menghubunginya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS