Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Diplomasi golf': Orang Dr M kritik PR Najib
Diterbitkan:  Dec 31, 2014 4:37 PM
Dikemaskini: 8:55 AM

Ketika Tun Dr Mahathir Mohamad tampil mengkritik perdana menteri, dua bekas orang kuatnya turut tampil membangkitkan kelemahan unit komunikasi Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Tan Sri Zainuddin Maidin dan Datuk A Kadir Jasin, kedua-dua orang lama dalam dunia pemberitaan, malah berkongsi pandangan masing-masing berhubung perkara itu.

Kadir, melalui tulisannya yang disiarkan di blog Zainuddin, menyindir unit komunikasi JPM dalam “menangani pengaliran maklumat” dalam isu 'diplomasi golf' antara Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Barrack Obama.

Najib mencetuskan kontroversi sebelum ini selepas gambar beliau bermain golf bersama Obama di Hawaii, AS ketika banjir besar melanda beberapa negeri, terutamanya di Kelantan.

“Saudara Zam, benar macam kata saudara iaitu Unit Komunikasi JPM perlu pantas mengeluarkan kenyataan mengenai PM bermain golf di Hawaii ketika negara dilanda banjir besar.

“Tetapi saya yakin Saudara sendiri tahu siapa yang menerajui unit itu dan apa pula kepakaran mereka dalam isu perang saraf,” tulis Kadir ( kanan ), bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times kepada Zainuddin, bekas ketua pengarang kumpulan Utusan Melayu.

Kadir juga menyindir pegawai media perdana menteri yang ramai, termasuk daripada luar negara, tetapi menurutnya “setia kepada banyak pihak” sehingga tiada kata sepakat menangani sesuatu krisis.

Keadaan itu membawa Kadir mengimbau nostalgia mereka di zaman Mahathir yang menyaksikan berlaku perbincangan antara bekas perdana menteri itu dan pengarang media di belakang tabir.

“Kita bersetuju dan tidak bersetuju,” kata Kadir sebagai balasan kepada tulisan Zainuddin atau lebih dikenali sebagai Zam pada Jumaat lalu berkaitan isu sama.

'Populari PM, isteri di tahap rendah'

Zam sebelum ini berkata, unit komunikasi JPM wajar tangkas membetulkan tanggapan negatif berhubung penyebaran gambar Najib dan Obama pada hari Krismas lepas.

“Kepantasan ini diperlukan jika mereka menyedari dan menerima hakikat bahawa populariti Datuk Seri Najib dan isterinya berada pada tahap yang sangat rendah.

“Rakyat sinis terhadap kenyataan timbalannya bahawa Najib terpaksa bercuti kerana telah bekerja keras,” kata Zainuddin ( kiri ).

Kegagalan itu, katanya lagi, menyebabkan media propembangkang dan pengguna media sosial anti- Najib mempergunakan isu itu secepat kilat.

Pertemuan Najib-Obama itu pada mulanya dilaporkan akhbar terkenal Washington Post sebelum dipetik media di Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ditanya pemberita berhubung ketiadaan Najib ketika bencana besar itu sebelum ini, meminta supaya “berlaku adil” kepada PM yang menurutnya sudah bekerja keras.

Muhyiddin yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara meminta orang ramai jangan risau dan mempercayainya untuk menangani bencana itu.

Lihat Komen
ADS