Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pengumuman harga RON95 pada RM1.91 seliter dan diesel pada RM1.93 seliter oleh Kerajaan Persekutuan berkuatkuasa hari ini mengesahkan bahawa pengiraan harga RON95 dan diesel yang dibuat oleh PKR selama ini tepat.

PKR telah mengambil langkah mengumumkan terlebih dahulu harga RON95 dan diesel mengikut harga pasaran dan formula jaminan keuntungan dan bayaran kos kepada syarikat minyak untuk memastikan Kerajaan Persekutuan tidak berdolak dalih dalam menurunkan harga minyak.

Semalam pada jam 1130 pagi, saya telah mengeluarkan kenyataan bahawa harga RON95 mengikut formula purata bulanan adalah RM1.91 seliter dan diesel adalah RM1.94 seliter.

Harga itu tepat seperti yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan lewat malam semalam yang sekaligus mengesahkan bahawa kaedah dan pengiraan PKR adalah tepat seperti formula yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan.

Lebih penting lagi, ia juga mengesahkan bahawa kiraan jumlah cukai yang dikutip secara senyap (hidden tax) akibat harga yang dibayar lebih tinggi dari harga pasaran juga adalah tepat.

Maka, pendedahan PKR bahawa bagi bulan Disember 2014 Kerajaan Persekutuan telah mengutip cukai petrol dan diesel secara senyap sebanyak RM633 juta perlu diberi perhatian serius oleh rakyat.

Cukai durian runtuh

Keadaan ini dijangka berterusan dalam keadaan harga minyak mentah dunia terus jatuh dan perubahan harga hanya dilakukan sekali sebulan seperti yang diamalkan Kerajaan Persekutuan.

Akibatnya, Kerajaan Persekutuan akan mengutip cukai pada purata RM400 juta sebulan dan boleh mencecah berbilion ringgit dalam tahun 2015.

Saya sangat khuatir durian runtuh dalam bentuk cukai yang dikutip secara senyap ini akan dibelanjakan sewenang-wenangnya oleh Kerajaan Persekutuan apabila ia dimasukkan di dalam akaun pendapatan yang sama iaitu wang disatukan.

Dalam tempoh satu tahun akan datang, harga minyak berkemungkinan akan naik kembali sekiranya pasaran minyak mentah dunia pulih dan ekonomi dunia kembali rancak.

Pada ketika itu, rakyat terpaksa berdepan dengan kenaikan harga minyak dan kenaikan harga barang.

Tindakan Kerajaan Persekutuan menghapuskan subsidi menyebabkan rakyat bakal terdedah kepada kenaikan mendadak harga petrol dan diesel.

Kerajaan Persekutuan pula akan memberi alasan subsidi terlalu mahal dan tidak mampu ditanggung sedangkan berbilion ringgit cukai petrol dan diesel yang dikutip selama ini telah dibelanjakan bagi projek-projek besar.

Kerjasama dengan wakil BN

Oleh yang demikian, saya mendesak supaya satu akta digubal segera untuk memastikan sebarang kutipan cukai akibat dari perbezaan harga yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan dan harga pasaran (seperti yang berlaku sekarang) diasingkan dan dikumpul di dalam satu Tabung Pengimbang Harga Minyak.

Dana dari Tabung Pengimbang Harga Minyak ini hanya boleh digunakan untuk menstabilkan harga petrol dan diesel untuk melindungi rakyat dari kenaikan mendadak harga petrol dan diesel apabila harga minyak mentah kembali pulih ke paras lama.

Dana RM633 juta yang dikutip dalam Disember 2014 perlulah segera diasingkan dan dimasukkan di dalam tabung sedemikian sementara satu akta digubal dan dikuat kuasa serta merta.

Saya akan menggubal akta tersebut sebagai inisiatif rang undang-undang persendirian untuk diangkat ke Dewan Rakyat dalam sesi akan datang yang bermula Mac 2015 nanti.

Saya sedia bekerjasama dengan mana-mana Ahli Parlimen BN untuk memastikan rang undang-undang Tabung Pengimbang Harga Minyak ini dapat diluluskan Dewan Rakyat.


RAFIZI RAMLI naib presiden dan setiausaha agung PKR serta ahli Parlimen Pandan.

Lihat Komen
ADS