Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selepas banjir mulai surut, antara keutamaan mangsa adalah memperoleh segera khemah sementara untuk dijadikan tempat berteduh bagi mangsa yang rumahnya rosak teruk atau hilang dihanyutkan air.

Walaupun kerajaan telah menyediakan pusat pemindahan banjir, namun selepas bencana itu reda sejak beberapa hari ini, membuatkan mereka mulai pulang ke rumah masing-masing.

Tinjauan Bernama di sekitar Kampung Manik Urai Lama, di Kuala Krai, mendapati banyak keluarga terpaksa memasang payung dan menggunakan kain kanvas serta papan di tepi jalan bagi mendirikan kediaman sementara.

Selain itu, mereka juga dilihat memasang zink untuk dijadikan bumbung daripada sebahagian rumah mereka yang rosak untuk dijadikan sebagai tempat berteduh.

Ibu kepada tiga anak, Rohaiza Abdul Rahim, 45, berkata bahawa kediamannya di kawasan itu hampir kesemuanya ditenggelami air hingga mengakibatkan rumah rosak teruk.

Beliau berkata, dia dan suaminya terpaksa membina sendiri tempat berteduh sementara menggunakan kain kanvas serta beralaskan tikar mengkuang di tapak rumah mereka yang rosak.

"Kami terpaksa berbuat demikian kerana untuk mencari harta benda yang masih boleh diselamatkan dan diguna pakai.

"Saya mohon bantuan pihak kerajaan menyegerakan bantuan khemah sementara untuk dijadikan tempat berteduh kerana pada waktu malam, cuaca di sini amat sejuk," katanya ketika ditemui Bernama .

Tinjauan di sekitar Manik Urai Lama, amat menyedihkan kerana banyak jalan yang rosak serta berdebu, selain banyak rumah yang musnah dan kedai yang rosak akibat banjir.

Sementara itu, Jusoh Yahya, 56, berkata dia terpaksa mendirikan sebuah pondok apabila rumah milik peninggalan kedua arwah ibu bapanya rosak teruk.

"Saya hampir pitam apabila melihat rumah peninggalan arwah musnah sekelip mata, bagaimanapun saya sanggup menetap di sini bagi mengemas dan membersihkan rumah itu.

"Untuk membersihkannya rumah itu, ia mengambil masa dan saya terpaksa membina sebuah pondok khas tempat saya tidur, sementara menunggu bantuan khemah tiba," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS