Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sarjana Kassim Ahmad gagal dalam permohonan semakan kehakiman bagi mengisytiharkan pendakwaan dan penahannya oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di rumahnya di Kulim, Kedah sebagai tidak sah dan bercanggah dengan undang-undang.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Asmabi Mohamad memberitahu Kassim bahawa terdapat kaedah lain boleh boleh didapatkannya di Mahkamah Rayuan Syariah.

Hakim menyebut berhubung Seksyen 233 dan 234.

“Mahkamah ini keberatan untuk memberikan pengisytiharan terhadap permohonan Kassim,” kata hakim Asmabi yang menolak permohonan Kassim, 82. [Baca berita asal]

Sementara itu, Bernama melaporkan Hakim Asmabi, dalam penghakiman lisannya, berkata Kassim, 82, tidak boleh mengemukakan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Sivil berhubung keputusan dibuat agensi penguatkuasaan itu.

    

"Saya berpendapat pemohon di sini tidak boleh mengemukakan permohonan di mahkamah ini bagi semakan kehakiman terhadap agensi penguatkuasaan itu. Kes ini terletak dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah," katanya.

    

Beliau berkata Kassim boleh memfailkan kesnya di Mahkamah Sivil berhubung dakwaannya telah ditangkap dan ditahan secara tidak sah di sisi undang-undang.

"Pemohon boleh memohon untuk mendapatkan ganti rugi punitif teruk dan teladan berhubung pelanggaran hak asasinya mengikut Perlembagaan Persekutuan," katanya.

    

Beliau berkata Mahkamah Syariah merupakan forum terbaik untuk mengadili isu berkaitan agama Islam kerana kesalahan didakwa dilakukan Kassim terletak di bawah bidang kuasa Syariah.

    

Asmabi bersetuju dengan Peguam Kanan Persekutuan bahawa tiada isu khusus tentang penangkapan dan penahanan Kassim secara tidak sah di sisi undang-undang dan penggeledahan di rumahnya telah dibangkitkan, yang membolehkan mahkamah memberikan kebenaran bagi semakan kehakiman.

    

Terdapat saluran bagi Kassim untuk menyuarakan masalahnya dari segi ikat jamin, penjamin dan remedi berkaitan, katanya.

    

Kassim, memfailkan permohonan itu pada 26 Jun, antara lain bagi perintah certiorari untuk membatalkan keputusan Ketua Pendakwa Syarie pada 27 Mac yang mendakwanya terhadap dua pertuduhan iaitu menghina agama Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama di Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya.

    

Beliau memohon supaya prosiding kesnya di Mahkamah Tinggi Syariah digantung sehingga permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman itu diputuskan.

Kassim juga memohon suatu perintah membatalkan tindakan dan keputusan pegawai-pegawai Penguatkuasa Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) yang menyerbu, menggeledah dan menyita bahan terbitannya, memeriksa, menahan, menangkap dan mengeluarkannya dari Kedah dan membawanya ke Wilayah Persekutuan.

    

Beliau juga mahu suatu perintah membatalkan apa juga waran tangkap, geledah, sita dan bon dan deklarasi bahawa tindakan pencerobohan pegawai JAWI dan pendakwaan terhadapnya adalah di luar bidang kuasa mereka.

    

Beliau juga mendakwa tindakan itu bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Akta-Akta Syariah Wilayah Persekutuan dan Enakmen-Enakmen Syariah Kedah dan juga memohon suatu deklarasi bahawa kesalahan melanggar fatwa Wilayah Persekutuan hanya terpakai kepada pemastautin di Wilayah Persekutuan sahaja.

    

Sementara itu Kassim yang ditemui pemberita berkata pihaknya akan membuat rayuan serta merta.

     

Mahkamah turut menetapkan 12 Januari untuk mendengar permohonan penangguhan keputusan.

Lihat Komen
ADS