Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mahkamah Persekutuan mengarahkan N Viran atau Izwan Abdullah untuk membawa anaknya ke mahkamah, atau tidak dibenar mendengar permohonan menangguhkan keputusan mendapatkan anaknya didengar pada 14 Januari.

Keputusan itu dibuat oleh Ketua Hakim Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin yang mempengerusikan panel lima anggota terhadap bantahan awal peguam S Deepa.

Peguam Deepa, diketuai Aston Paiva, membantah permohonan penangguhan itu daripada didengar ekoran Viran didakwa menghina mahkamah.

Ini kerana tindakan mengambil anaknya daripada rumah ibunya di Jempol dua hari selepas Mahkamah Tinggi Seremban membuat keputusan berkaitan hak jagaan.

Hakim lain ialah Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Richard Malanjum dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Abdull Hamid Embong dan  Datuk Md Apandi Ali.

Deepa turut diwakili oleh Fahri Azzat dan Joanne Leong.

Leong ketika dihubungi Malaysiakini memaklumkan perkembangan itu hari ini.

Mahkamah Tinggi Seremban pada 7 April memberikan hak jagaan dua anaknya yang berumur enam dan tujuh tahun kepada Deepa. [Baca berita penuh/asal]

Sementara itu, Bernama melaporkan mahkamah memerintahkan Izwan membawa anaknya itu yang menjadi perebutan hak penjagaan, ke mahkamah pada 14 Januari atau menghadapi kemungkinan didakwa kerana menghina mahkamah.

    

Panel lima hakim menetapkan tarikh itu (14 Januari) bagi mendengar permohonan Izwan bagi kebenaran untuk merayu terhadap perintah bagi hak penjagaan dan perintah mendapatkan kembali dan permohonan Ketua Polis Negara (KPN) dan Peguam Negara (AG) bagi kebenaran untuk merayu terhadap perintah penyerahan.

    

Beliau menetapkan tarikh itu bagi mendengar permohonan berkenaan tetapi menetapkan syarat bahawa Izwan, yang sebelum ini menganuti agama Hindu dengan nama N. Viran, mesti membawa anaknya Mithran ke mahkamah dan jika gagal berbuat demikian akan berdepan kemungkinan didakwa kerana menghina mahkamah dan permohonannya tidak dapat didengar oleh mahkamah.

    

Izwan memohon mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 17 Disember tahun lepas yang menolak rayuannya untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi Seremban yang memberikan hak penjagaan dua orang anaknya kepada bekas isterinya S. Deepa.

    

Dia juga memohon kebenaran untuk merayu terhadap perintah mendapatkan semula anak yang diperoleh oleh Deepa daripada Mahkamah Tinggi yang mengarahkan pihak polis untuk mengesan Mithran yang dalam jagaan Izwan.

Pada 7 April, tahun lepas, Mahkamah tinggi menyerahkan hak penjagaan dua orang anak pasangan itu, Sharmila, 10, dan Mithran kepada ibu mereka.

    

Mahkamah juga memberi hak kepada Viran untuk melawat anaknya setiap minggu dan juga membenarkan permohonan Deepa bagi membubarkan perkahwinan sivil dengan Viran kerana dia (Izwan) telah memeluk Islam.

    

Pada 9 April, tahun lepas, Izwan dilaporkan telah melarikan Mithran.

    

Pasangan itu berkahwin pada Mac 2003 mengikut upacara agama Hindu.

    

Izwan, yang memeluk Islam pada 2011, menukarkan agama anaknya tanpa pengetahuan isterinya pada tahun yang sama dan kemudian memperoleh perintah daripada Mahkamah Syariah Seremban bagi hak penjagaan kanak-kanak itu.

Terdahulu dalam prosiding mahkamah, peguam Fahri Azzat yang mewakili Deepa memberitahu mahkamah bahawa Izwan menghadapi prima facie menghina mahkamah kerana dia telah mengabaikan perintah Mahkamah Tinggi untuk mengembalikan kanak-kanak itu tetapi berkata beliau akan memberi satu lagi peluang kepada Izwan untuk membawa kanak-kanak itu.

    

Bagaimanapun, peguam Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Izwan berhujah bahawa anak guamnya tidak menghina mahkamah kerana Mahkamah Rayuan telah memberikan penangguhan terhadap pelaksanaan perintah mendapatkan kembali kanak-kanak itu sementara menunggu dia memfailkan permohonan bagi kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan.

    

Beliau memberi jaminan kepada mahkamah bahawa beliau akan menasihati Izwan hadir ke mahkamah bersama-samaanaknya pada tarikh itu.

    

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan mewakili Ketua Polis Negara dan Peguam Negara.

Lihat Komen
ADS