Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerjasama S'gor-Putrajaya misi pasca banjir di Pahang

Menteri Besar Selangor Azmin Ali berkata kerajaan negeri itu akan bekerjasama dengan kerajaan pusat bagi membantu misi kemanusiaan pasca banjir di Pahang.

Katanya, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat exco pagi tadi selepas pihak Putrajaya menghubungi beliau.

"Putrajaya dah jemput Selangor untuk turut bersama dalam misi kemanusiaan pasca banjir di Pahang.

"Perkara ini dah dibawa dalam mesyuarat exco dan kerajaan negeri bersetuju dengan undangan Putrajaya bagi kerjasama lebih efektif pasca banjir di Pahang terutama di Temerloh dan Bera," katanya.

Beliau berkata demikian  ketika berucap sebelum melancarkan misi bantuan pembersihan bencana banjir di Kelantan  di bangunan SUK di Shah Alam.

Ditemui pemberita kemudiannya, timbalan presiden PKR itu berkata panggilan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang diterimanya merupakan satu pengiktirafan kepada Selangor.

Justeru, MP Gombak berkata beliau tidak mahu bencana banjir dijadikan sentimen politik.

"Ini pengiktirafan setelah terlibat secara langsung banjir di pantai timur. Selangor ambil pendirian awal untuk membantu.

"Kita tak mahu bencana seperti ini terperangkap dalam sentimen politik.

"Ini (bencana banjir) memerlukan semua pihak termasuk kerajaan negeri dan pusat," katanya.

Pada Isnin lalu, Menteri Pertanian dan Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri berkata pasukan pasca banjir di Pahang telah melakukan aktiviti pembersihan bermula Jumaat lalu.

Beliau berkata terdapat enam kementerian yang dijadikan sebagai "kementerian angkat" bagi tujuan penyelarasan pasca banjir di negeri itu.

Lihat Komen
ADS