Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, tidak adil untuk mengkritik cadangan berkaitan akta antikeganasan sebelum ia dibentangkan di Parlimen.

Selain itu beliau berkata, akta itu bukan perkara baru memandangkan di negara Eropah telah mewujudkan akta itu sebelum ini.

"Ia bukan perkara yang unik.

"Malah, seperti di Perancis dan negara Eropah telah melakukannya dari aspek perundangan bagi memerangi pengganas.

"Oleh itu, mereka yang mahu bercerita dan memburuk-burukkan sesuatu yang tidak pernah didebatkan lagi di Parlimen, dilihat tidak adil kepada mereka yang ingin ia dibentangkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Wisma Pertahanan hari ini.

Rang undang-undang Anti Keganasan dijangka dibentang di Dewan Rakyat pada Mac depan.

Pada Sabtu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilapor berkata Malaysia memandang serius ancaman keganasan yang berlaku terutamanya serangan di Paris.

Najib berkata selain memperkemaskan undang-undang sedia ada, satu akta baru bagi mencegah ancaman keganasan dan kegiatan militan akan dibentangkan Mac depan.

Sementara itu, MalayMail Online melaporkan, peguam jenayah Amer Hamzah Arshad berkata, cadangan akta antikeganasan merupakan satu cadangan yang boleh menjejaskan sistem keadilan jenayah dalam jangka masa panjang tanpa memberi jaminan keberkesanannya dalam menangani pengganas.

Lihat Komen
ADS