Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan tidak akan meminggir dan mengabaikan hak waris dan pemilik tanah di tapak bersejarah Kampung Baru di Kuala Lumpur dalam program pembangunan semula kawasan itu.

Beliau menyatakan ikrar tersebut dalam ucapannya ketika melancarkan Pelan Induk Terperinci Pembangunan Kampong Bharu (PITPKB).

"Apa yang pasti, kerajaan hari ini memberi jaminan bahawa pembangunan semula Kampung Baru tidak akan sesekali meminggir dan mengabaikan hak pemilik dan pewaris tanah.

"Saya difahamkan penggubalan Pelan Induk ini melalui proses ketat serta melalui beberapa siri engagement yang berterusan bersama pemilik dan pewaris tanah,” katanya.

Katanya, kerajaan akan terus berusaha untuk mendapatkan persetujuan daripada lebih 10 peratus lagi pemilik dan pewaris tanah di kampung tradisi itu.

Usaha akan dijalankan melalui program turun padang, perbincangan kumpulan fokus dan pameram awam, katanya.

Dalam ucapannya, beliau berkata dalam lima sesi program turun padang, seramai 2,388 orang atau 56 peratus daripada keseluruhan pemilik tanah menghadiri program itu.

"Dan 88 peratus daripadanya menyatakan persetujuan untuk Kampung Baru dibangunkan.

Anggaran RM61 bilion

"Selebihnya mengambil pendekatan tunggu dan lihat. Semua ini diadakan bagi memastikan penyediaan Pelan Induk ini adalah bersifat menyeluruh dan meraih sokongan serta persetujuan penduduk setempat," katanya.

Seramai 5,300 orang berdaftar sebagai pemilik tanah kampung tradisi tersebut pada 2013.

Dalam ucapannya juga, Muhyiddin berkata pembangunan Kampung Baru seluas 301.38 ekar memfokuskan dari aspek perancangan fizikal dan pengurusan pembanunan yang anggaran nilai pembangunan kasar sebanyak RM61 bilion.

Menurutnya lagi, nilai potensi pelaburan itu dijangka mewujudkan 46,237 peluang pekerjaan menjelang 2035 kepada penduduk kampung tersebut.

Jumlah penduduk juga diunjur meningkat kepada 77,000 berbanding 18,372 pada masa kini, tambahnya.

"Bagi menampung jumlah berkenaan, Pelan Induk ini menetapkan penyediaan 17,500 unit kediaman dengan 2,100 unit adalah bagi 'mix-income housing' yang memfokuskan kepada pewaris serta anak-anak Kampung Baru.

"Ini merupakan bukti bahawa kerajaan hari ini akan memastikan tiada pemilik dan pewaris tanah yang akan terpinggir dalam arus pembangunan semula Kampung Baru kelak," katanya.

MP Pagoh itu juga berkata Pelan Induk itu turut menekankan peningkatan kemudahan infrastrtuktur dan kemudahahan pengangkutan selaras denegan kenaikan penduduk termasuk cadangan mewujudkan stesen MRT 2 di Kampung Baru.

Lihat Komen
ADS