Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kementerian tidak pernah mengarahkan mana-mana pentadbiran sekolah untuk menghalang pelajar khususnya bukan Islam untuk memakai baju kurung.

Malah, beliau menjelaskan sepatutnya pakaian itu perlu digalakkan untuk dipakai oleh kaum dan Melayu dan bukan Melayu memandangkan ia dianggap sebagai baju kebangsaan.

Katanya lagi, jika ada mana-mana sekolah yang membuat peraturan yang bertentangan, ia dianggap ia sebagai "tidak betul dan perlu diperbetulkan".

"Di sekolah kita tidak mengeluar arahan. Cuma ada sesetangah sekolah ada peraturannya sendiri. Jadi saya fikir, itu tidak betul dan perlu diperbetulkan

"Pihak kementerian akan minta pihak sekolah memperbetulkan semula. Kerana isu yang sedikit, akan timbul isu-isu yang dianggap perkauman. Bukan isu perkauman.

"Isu ini berbangkit kerana sekolah itu membuat arahan yang tidak selari dengan dasar yang ditetapkan oleh kementerian pendidikan," katanya yang juga menteri pendidikan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas insiden seorang pelajar Britney Nicole yang dilapor dilarang memasuki Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mutiara di Cheras semalam kerana dia memakai baju kurung uniform sekolah.

Pelajar tingkatan tiga itu dilapor keliru dengan arahan itu dan takut untuk kembali ke sekolah

Mengulas lanjut, Muhyiddin juga memberi amaran kepada pentadbiran sekolah supaya tidak melaksanakan peraturan "yang tidak disuruh" oleh kerajaan sehingga boleh menimbul masalah lain.

"Kita tak nak bicara soal-soal perkauman. Ini mungkin salah faham, apabila sekolah itu buat peraturan yang tidak selari dengan kementerian.

"Jadi (hal) yang ini, kita boleh perbetulkan," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Pelan Induk Terperinci Pembangunan Kampung Baru di ibu negara hari ini.

Lihat Komen
ADS