Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mejar Zaidi Ahmad berazam untuk lebih banyak berbakti kepada masyarakat apabila berada di luar pasukan Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) selepas dipecat oleh Mahkamah Tentera pada 12 Januari lalu.

Tekad itu mendorong beliau untuk tidak merayu pemecatannya selepas diputuskan bersalah memberi kenyataan media tentang dakwat kekal dan mendedahkan surat pertukaran tugasnya tanpa izin Majlis Angkatan Tentera.

Menurutnya, jika tidak dipecat sekali pun, peranan beliau dalam TUDM dihadkan apabila beliau mendakwa dihalang terbang serta merta dalam masa 24 jam selepas membuat laporan polis berkenaan isu dakwat kekal pada 1 Mei 2013.

"Saya tidak lagi dibenarkan terbang selepas saya membuat laporan polis (berkenaan dakwat kekal).

"Saya 'disejukbekukan' selepas itu.

"Jadi apakah maksudnya ini? Lebih baik sahaja saya keluar (dari TUDM).

"Lebih baik untuk saya berada di luar dan berbuat sesuatu, berbanding duduk di dalam dan tidak berbuat apa-apa," kata juruterbang pesawat pejuang itu.

Beliau berkata demikian dalam forum 'Padah kerana benar, Bebas kerana salah' anjuran NGO reformasi pilihan raya, BERSIH 2.0 di ibu negara semalam.

Menurut Zaidi lagi, beliau berhasrat untuk "menyumbang secara politik" kepada masyarakat di samping menceburi bidang perniagaan.

Layak pacak poster

"Apa yang saya fikirkan, saya akan menyumbang kepada masyarakat menerusi proses politik.

"Hendak jadi calon (pilihan raya) atau apa... Itu bukan kuasa saya.

"Saya tak boleh kata saya mahu jadi calon dan tolong letak saya di sana. Itu bukan kuasa saya.

"Ia terpulang kepada parti politik untuk tentukan saya layak atau tidak.

"Kalau saya ini layak pacak poster, pacak poster sahajalah saya," katanya mengundang ketawa dari hadirin forum.

Beliau juga secara terbuka berikrar untuk menyumbang tenaga kepada BERSIH yang banyak berkempen untuk beliau selama ini.

"Saya akan lakukan yang terbaik untuk menyumbang kepada rakyat.

"Perjuangkan dan dapatkan apa yang BERSIH perjuangkan - sebuah kerajaan bersih yang tidak mencuri harta rakyat," katanya.

Lihat Komen
ADS