Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Angin kencang beberapa perairan hingga Selasa

Keadaan angin kencang Timur Laut yang melanda kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak, Sabah (Pedalaman, Pantai Barat dan Kudat) dan Labuan dijangka berterusan sehingga Selasa.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi, keadaan angin kencang dengan kelajuan 50-60 kmsj dan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

"Selain itu, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu dan Johor Timur terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut sehingga esok," menurut kenyataan itu.

Jabatan itu turut memaklumkan, angin kencang Timur Laut berkelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter yang berlaku di perairan Sabah (Sandakan) dijangka berterusan sehingga Selasa dan keadaan tersebut berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Sementara itu amaran ribut petir di perairan Sarawak dengan angin kencang berkelajuan 50-60 kmsj dan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter akan berterusan sehingga lewat petang ini.

Menurut kenyataan itu, kawasan lain termasuk perairan Condore, Reef North, Layang-layang, Palawan, Samui, Tioman, Bunguran, Kuching, Labuan dan Sulu yang mengalami angin kencang dengan kelajuan 50-60 kmsj, laut bergelora dan ombak mencapai sehingga 4.5 meter dijangka berterusan sehingga Selasa ini.

Sementara amaran ribut petir di perairan Bunguran, Reef South dan Kuching dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dan perairan Sulawesi dengan ombak berketinggian sehingga 3.5 meter, masing-masing dijangka berterusan sehingga lewat petang ini.

Keadaan itu berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS