Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kewujudkan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) akan memaksa PAS untuk memutuskan sama ada parti Islam itu mahu kekal atau meninggalkan Pakatan Rakyat, kata presiden NGO itu Datuk Phahrolrazi Zawawi.

Phahrolrazi berkata PAS perlu memutuskan perkara itu segera dan tidak boleh kekal “tidak bergerak” kerana pilihan raya umum ke-14 (PRU) semakin menghampiri.

Bekas exco kerajaan Kedah itu berkata, muktamar pemilihan PAS akan berlangsung pada Jun ini dan tumpuan tentunya sama ada perwakilan akan memutuskan berkaitan kedudukan parti itu dalam Pakatan.

Perkara itu juga, katanya, antara sebab kenapa PAS kelihatan berhati-hati terhadap anggota PasMa, kerana NGO itu “teguh” berdiri di belakang Pakatan.

Ditanya sama ada PAS rasa terancam dengan kehadiran PasMa, Phahrolrazi membalas:

“Ia hanya nampak begitu di peringkat jawatankuasa pusat, bukan di peringkat negeri”.

Katanya, PasMa bergerak dengan baik di peringkat negeri dan telah membentuk sekretariat di banyak negeri.

“Malah penyokong kami di luar negara, seperti mahasiswa di United Kingdom, bertanya sama ada PasMa akan ditubuhkan di tempat mereka,” katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini di Alor Setar semalam.

“Kami kuasa ketiga, jika ada keperluan untuk kami sokong Pakatan Rakyat semasa pilihan raya, kami akan lakukannya.

"Jika ada yang kurang, kami akan melengkapkannya,” tegasnya.

Landasan salur kritikan

PasMa ditubuhkan pada 10 Ogos tahun lalu di tengah-tengah krisis menteri besar Selangor yang menyaksikan PAS menolak calon PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail.

Krisis itu membawa kepada penggantungan dua wakil rakyatnya yang menyatakan sokongan terbuka terhadap pilihan PKR dan DAP itu untuk menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim ( bawah ) dengan Azizah.

Bagaimanapun, selepas ketegangan hampir dua bulan, sultan Selangor akhirnya memilih Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, orang nombor dua selepas Azizah dalam parti itu, sebagai menteri besar.

Phahrolrazi menjelaskan isu itu dan peranan PAS sentiasa menjadi tajuk paling hangat dibincangkan dalam forum dan pertemuan anjuran mereka.

“Ia menjadi sebab kenapa PasMa jadi popular.

“Ia juga jadi landasan untuk anggota parti dan penyokong Pakatan Rakyat mengkritik kepimpinan PAS,” katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS