Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Anak Yang Dipertua Negeri Sarawak, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib mengaku yang beliau berpoligami tanpa izin mahkamah dan bekas isterinya, Shahnaz Abdul Majid ketika masih menjadi suami kepada wanita tersebut.

Katanya, beliau bertindak demikian sebanyak dua kali – ketika berkahwin dengan seorang wanita Australia, Louise Karen Hiley dan seterusnya ketika berkahwin dengan wanita Rusia, Elena Vasilenko.

Beliau berkata demikian sewaktu disoal balas oleh peguam Shahnaz, Akbardin Abdul Kader dalam kes tuntuan mutaah sebanyak RM100 juta oleh Shahnaz terhadap Bekir.

Ia sekali gus menafikan dakwaan Shahnaz yang sebelum ini yang mendakwa Bekir membawa seorang perempuan Australia ke majlis perkahwinan adik perempuan Bekir pada tahun 2000.

"Untuk penjelasan mahkamah, perempuan itu isteri saya," kata Bekir sewaktu disoal balas Akbardin.

Ditanya sebab memilih untuk bernikah di Narathiwat, Thailand, Bekir berdiam diri selama kira-kira seminit dan kemudiannya menjawab: "Saya lebih senang begitu".

Bekir juga tidak bersetuju apabila ditanya sekiranya beliau berbuat demikian untuk merahsiakan perkahwinan tersebut dari Shahnaz.

Shahnaz kata dimalukan

Dalam perbicaraan sebelum ini, Shahnaz memberitahu mahkamah bahawa beliau berasa malu apabila Bekir memperkenalkan Elena Vasilenko sebagai isterinya dalam satu wawancara dengan majalah The Peak pada 2010. Pada ketika itu Shahnaz masih menjadi isterinya yang sah.

Menjelaskan perkara itu, Bekir berkata beliau secara teknikalnya berpoligami, tetapi secara praktikalnya tidak.

Jelasnya, beliau tidak lagi tinggal sebumbung dengan Shahnaz namun tidak mengabaikan keperluan Shahnaz.

Bekir sebelum ini mengaku tidak memberi nafkah batin kepada Shahnaz lebih dari sepuluh tahun.

Bekir yang memberi ketika disoal peguam berkata beliau bagaimanapun tidak pernah membawa wanita yang bukan isterinya ke majlis melibatkan keluarganya.

"Seingat saya, saya tak pernah bawa perempuan depan mak ayah saya kalau bukan isteri saya.

"Saya tak pernah bawa teman wanita jumpa mak ayah saya," kata Bekir.

Shahnaz kini sedang menuntut nafkah mutaah sebanyak RM100 juta dari Bekir selepas perkahwinan yang dibina mereka pada 9 Januari 1992 berakhir pada 11 Mei 2011.

Selain daripada itu, beliau turut menuntut nafkah anak sebanyak RM121 juta serta harta sepencarian sebanyak RM300 juta.

Pasangan itu mempunyai seorang anak berusia 22 tahun yang kini melanjutkan pelajaran di luar negeri.

Lihat Komen
ADS