Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tahap kesihatan kanak-kanak perempuan yang diselamatkan di Sungai Dua, Pulau Pinang dalam keadaan lemah dan kelaparan minggu lepas semakin baik, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata kanak-kanak perempuan itu juga sudah mula bercakap, berkemungkinan sudah hilang kesan trauma akibat dikurung berbanding ketika diselamatkan pada 15 Jan lepas.

"Untuk makluman tahap kesihatan kanak-kanak itu sudah lebih baik, dia sudah mula bercakap dan berat badan bertambah dua kilogram," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau keadaan mangsa banjir di tiga pusat pemindahan di Kampung Pinang, Kampung Nangka dan Kampung Entingan, di Bahagian Samarahan, pada Rabu.

Bagaimanapun, beliau berkata kanak-kanak itu masih mendapatkan rawatan di hospital dan pihaknya dengan kerjasama polis akan memastikan hanya waris terdekat dibenarkan melawatnya.

"Kita tunggu kanak-kanak tersebut keluar dari hospital untuk kita dapatkan perintah mahkamah untuk memohon perintah jagaan sementara.

Namun begitu pada masa yang sama kita akan tetap mencari waris terdekat bagi tujuan menjaga kanak-kanak itu, ini selaras dengan polisi kita yang mahukan jika boleh kanak-kanak itu berada dalam jagaan ahli keluarga sendiri," kata Rohani.

Kanak-kanak berkenaan yang merupakan murid Tahun Satu ditemui dalam keadaan lemah dan kelaparan di sebuah rumah di Sungai Dua yang tidak mempunyai bekalan air dan elektrik pada Khamis lepas.

Susulan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun yang dipercayai bapa mangsa bagi membantu siasatan.

Sementara itu, mengulas penemuan mayat bayi dalam mangkuk tandas di Blok H, Universiti Putra Malaysia (UPM), Kampus Bintulu, pada Rabu, Rohani sangat kesal dengan insiden tersebut dan mengulangi keperluan pindaan Akta Kanak-kanak 2001 dilakukan.

"Ini yang perlu di dalam dalam pindaan itu nanti, kita akan masukkan kesalahan pengabaian ibu bapa terhadap anak-anak, termasuk kesalahan terhadap pembuangan bayi. Mengenai penemuan mayat bayi ini saya akan berhubung dengan pegawai saya untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut," katanya.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, tengah hari tadi memaklumkan kepada media mengenai operasi khas oleh Balai Bomba Bintulu yang bertindak membantu mengeluarkan mayat bayi dari mangkuk tandas di universiti berkenaan dan telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

- Bernama

Lihat Komen
ADS