Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kumpulan masyarakat Islam di Malaysia melancarkan bantahan ke atas tindakan akhbar satira Perancis, Charlie Hebdo yang menyiarkan edisi khas memaparkan karikatur Nabi Muhammad.

Sekumpulan kira-kira 300 penganut Islam termasuk penyokong dan NGO Hizbut Tahrir itu berhimpun berdekatan Kedutaan Perancis di ibu negara ini bagi membantah tindakan itu.

Ia merupakan bantahan pertama yang dilancarkan di negara ini sejak serangan ke atas pejabat Charlie Hebdo di Perancis pada awal bulan ini.

Kumpulan peserta perhimpunan itu berkumpulan di Masjid Tabung Haji sebelum berarak ke ke kedutaan itu yang terletak kira-kira 500 meter sambil bertakbir dan melaungkan slogan antaranya "Hidup Islam, Hancur Perancis".

Mereka turut mempamerkan kain retang dan poster, antaranya dengan slogan “Muslim United, our Prophet Our Honour", "Charlie Biadap" dan "Rasulullah dihina, pemerintah wajib isytihar jihad!".

Jurucakap Hizbut Tahrir Abdul Hakim Othman bersama seorang lagi wakil pertubuhan itu, menyerahkan satu memorandum bantahan kepada wakil kedutaan Perancis kira-kira jam 2.50 petang.

Demi syafaat baginda

Dalam memorandum itu, mereka antara lain menyatakan perhimpunan mereka hari ini sebagai tanda solidariti dan kasih sayang umat Islam terhadap baginda dan berikrar tidak akan membiarkan Rasulullah SAW itu dihina.

"Kita tidak akan membiarkan Nabi Muhammad SAW dihina. Perhimpunan hari ini untuk menyampaikan mesej bahawa kita mengutuk tindakan biadap (majalah itu) yang menghina Rasulullah SAW.

"Diharap perhimpunan kita hari ini akan mendapat syafaat baginda di akhirat kelak. Ia menjadi bukti bahawa kita tidak akan berdiam diri apabila Rasululah SAW dihina," kata Abdul Hakim dalam ucapannya.

Beliau juga menggesa semua pihak termasuk parti politik dan kerajaan menyuarakan bantahan yang sama.

Malah, beliau berharap juga kerajaan Malaysia bertindak tegas dengan memutuskan hubungan diplomatik dan dagangan sekaligus menghalau kedutaan Perancis daripada Malaysia.

Katanya, ia sebagai satu "jihad fisabilillah" bagi menyatakan ketegasan supaya tidak ada mana-mana pihak termasuk akhbar yang berani menghina Rasulullah SAW.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Abdul Hakim mengutuk kerajaan Perancis yang bersikap pilih kasih apabila penyiaran karikatur yang dianggap sebagai kebebasan berekspresi.

Sedangkan sebelum ini, wartawan majalah tersebut diberhentikan kerana emggan memohon maaf selepas menyiarkan karikatur anak lelaki bekas presiden Perancis, Nicolas Sarkozy.

"Ini dwistandard. (Charlie Hebdo) sengaja mengundang kemarahan umat Islam dengan melakukan provokasi. Malah ia (juga) akan mengeruhkan lagi hubungan dengan orang Muslim di negara itu," kata Abdul Hakim.

Pilih bulu

"Bila tiba kepada Nabi Muhammad SAW, kamu kata ia adalah hak wartawan. Jadi di mana demokrasi dan kebebasan bersuara, di mana kamu dan barat melaungkannya siang dan malam?," memorandum itu dipetik.

Diminta menjelaskan maksud "jihad" seperti yang laungkan oleh beberapa aktivis Hizbut Tahrir yang berucap sebelum itu, Abdul Malik berkata ia merupakan penyelesaian yang perlu dijalankan pemerintah.

Jelasnya, bentuk penyelesaian perlu mengikut nas syarak mengikut tindakan khalifah Islam dahulu apabila menghadapi penghinaan ke atas Nabi Muhammad.

"(Bentuk) jihad (itu kini) antara negara dengan negara apabila ada yang melampaui batasnya yang ditetapkan.

"Kami hanya beritahu penyelesaian, yang mengambil tindakan adalah pemerintah. Ada perkara yang perlu dijawab dengan jihad," katanya.

Abdul Malik turut menjelaskan wakil kedutaan Perancis itu menerima memorandum itu dengan baik dan berjanji akan menyampaikan bantahan mereka kepada kerajaan Perancis.

Demonstrasi itu berjalan dengan aman selamaa satu jam berakhir 3.00 petang dan peserta bersurai dengan aman.

Bantahan sama juga sebelum ini berlangsung dengan penyertaan ribuan umat Islam di Niger, Pakistan, Senegal, Mauritinia, Jordan, Algeria, Palestin, Sudan, Lebanon, Rusia dan Syria.

Penerbitan karikatur itu juga mendapat kecaman Setiausaha Agung OIC, Iyad Ameen Madani yang menyifatkannya sebagai tindakan “bodoh” dan menggesa agar undang-undang sewajarnya diambil terhadap penerbitan itu.

Lihat Komen
ADS