Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ku Nan: MIC tak perlu mogok lapar
Diterbitkan:  Jan 23, 2015 5:16 PM
Dikemaskini: 9:19 AM

Bersemuka dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS)  adalah lebih baik daripada melakukan mogok lapar untuk menyelesaikan kemelut MIC, kata Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

"Apa yang ROS lakukan mesti ada sebab, dan tentunya mengikut kaedah undang-undang yang mana pihak MIC mesti patuh.

"Kalau tak puas hati, tak guna buat protes dan sebagainya kerana saya berkeyakinan bahawa perkara ini dapat diselesaikan jika kita bersemuka dan berbincang," katanya mengulas tindakan mogok lapar Setiausaha Agung MIC Datuk G Kumar Aaman di pejabat ROS.

Kumar Aaman memulakan mogok lapar 2 petang semalam, untuk membantah arahan ROS, yang diterimanya pada Isnin, menyatakan kedudukannya sebagai setiausaha agung MIC adalah tidak sah.

Tengku Adnan yang ditemui pemberita selepas melancarkan Program Tahsin Iqra dan Tahfiz Sekolah-Sekolah Menengah dan Rendah Putrajaya di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin berkata tindakan Kumar Aaman itu juga tidak memberi kesan terhadap imej BN ketika ditanya mengenainya.

Beliau turut berharap pihak ROS dapat memberi keterangan yang sejelas-jelasnya berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah bidang kuasanya supaya tindakan yang diambil tidak dilihat berpihak kepada mana-mana pihak.

Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam semalam turut menyifatkan mogok lapar yang dilancarkan Kumar Aaman sebagai bukan sebahagian daripada budaya Malaysia.

Mengenai program Tahsin Iqra dan Tahfiz, Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata kedua-dua program itu dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha memperkasakan 'celik al-Quran' dalam kalangan pelajar sekolah.

Katanya, usaha itu sejajar dengan pemilihan Putrajaya sebagai Pusat Percetakan Al-Quran, yang kedua terbesar di dunia selepas Arab Saudi.

Anggota Parlimen Putrajaya itu turut menyumbangkan RM60,000 untuk menjayakan kedua-dua program tersebut.

- Bernama

Lihat Komen
ADS