Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Besar Selangor Azmin Ali mengajak rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat - DAP dan PAS - agar menyelesaikan isu pilihan raya pihak berkuasa tempatan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

"Ini perlu diselesaikan dalam Pakatan Rakyat. Saya pasti apabila kita memanggil untuk (mesyuarat) Majlis Pimpinan Pakatan, perkara ini akan dibincangkan.

"Kekuatan Pakatan Rakyat, kami bergerak dalam satu keputusan yang konsensus dan bukan berdasarkan pandangan peribadi," katanya kepada media.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita berhubung berlaku pertentangan pandangan antara DAP dan PAS dalam isu pilihan raya PBT.

Sebelum ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pilihan raya tempatan berpotensi mengulangi peristiwa berdarah 13 Mei 1969.

Ekoran kenyataan tersebut, pelbagai pihak termasuk DAP mengkritik pandangan Hadi itu.

Manakala Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menyifatkan kenyataan MP Marang itu sebagai kenyataan peribadi dan akan membincangkan perkara itu dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Bercakap selepas menyampaikan ucapan dalam pertemuan bulanannya dengan penjawat awam Selangor, Azmin berkata kerajaan negeri sebelum ini membuat perbincangan awal berhubung hal itu.

"Saya rasa ini patut diteruskan daripada tiga parti dengan duduk dan berbincang," kata MP Gombak itu.

"(Kita memutuskan) apa yang terbaik daripada pilihan yang ada. Yang pasti untuk kita membuat reformasi," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS