Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Besar Selangor Azmin Ali mempersoal sama ada peserta demonstrasi projek Datum Jelatek di Taman Keramat benar-benar penduduk tempatan.

Beliau menjawab soalan pemberita yang mahu mendapat maklum balas beliau berhubung bantahan dalam demonstrasi projek itu semalam.

"Kamu pasti mereka penduduk tempatan?" soal Azmin ketika ditanya perkara itu.

Seorang pemberita kemudian menjawab beliau pasti kerana berada di tempat kejadian ketika acara itu berlangsung.

Azmin kemudian bertanya lagi sama ada pemberita itu boleh mengesahkannya.

"Sebab wakil penduduk Encik Salleh..." jawab wartawan.

Bagaimanapun Azmin memintasnya dengan berkata: 

"Selain Encik Salleh, siapa lagi yang berada dalam demonstrasi itu.”

Beliau sebelum itu ditanya berhubung tuntutan peserta perhimpunan itu untuk berjumpa dengan Azmin, yang mana beliau membangkitkan perkara sama.

Semalam dilaporkan hampir 1,000 orang termasuk penduduk di Taman Keramat berdemonstrasi mendesak projek pembangunan Datum Jelatek di taman itu dihentikan.

   

Salleh, pengerusi badan bertindak Datum Jelatek mendakwa projek hartanah itu ditawarkan kepada warga asing China, Singapura dan Indonesia, seperti dilaporkan sebuah majalah perniagaan pada 2012.

Mengulas lanjut berhubung isu tersebut, Azmin berkata kerajaan negeri mengambil kira pandangan dan bantahan rakyat khususnya di kawasan pembangunan itu melalui pendengaran awam beberapa kali dan menganggap proses itu sebagai perkara biasa.

"Tetapi ia (pandangan dan semakan) juga diambil kira untuk membuat sebarang semakan atau pindaan dalam bentuk pembangunan di kawasan tersebut. Itu proses biasa.

“Rakyat boleh kemukakan bantahan, dalam mana-mana pembangunan, kita akan teliti bantahan itu," katanya.

Ditanya sama ada alasan bahawa kawasan itu akan dimiliki oleh orang luar termasuk kaum selain Melayu, Azmin berkata beliau akan meneliti laporan terperinci daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) terlebih dahulu.

'Tak penting tak menjurus perkauman'

Bahkan, setakat ini beliau yang juga timbalan presiden PKR tidak pasti sama ada bantahan itu benar-benar daripada penduduk di kawasan itu.

"Yang penting pembangunan itu, mestilah pembangunan yang tidak menjurus kepada perkauman.

“Walaupun kita ada kuota dalam sesuatu pembangunan, janganlah ia dijadikan sebagai sentimen untuk menjadi penghalang pembangunan di Selangor.

"PKNS akan teliti bantahan itu. Kita benarkan bantahan sesuatu pembangunan, bahkan kita ada townhall meeting, kita buat engagement dengan pihak berkepentingan dalam semua pembangunan," katanya.

Lihat Komen
ADS