Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) membelanjakan RM1.5 juta bagi membantu ahli pertubuhan itu membangunkan semula kawasan pertanian dan penternakan mereka yang terjejas teruk akibat banjir.

Pengerusi Nafas Datuk Seri Saipolbahari Suib berkata bantuan itu diagihkan kepada 106 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di tujuh negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Perak, Kedah dan Perlis.

"Setiap PPK menerima jumlah bantuan bernilai RM5,000 yang disalurkan menerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), kita juga memberi input pertanian seperti biji benih, benih ikan dan anak pokok.

"Selain itu, Nafas turut memberi bantuan awal persekolahan kepada 6,000 anak-anak ahli peladang di negeri terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas melakukan kunjungan hormat kepada Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia ( Bernama ) Datuk Zakaria Abdul Wahab di Wisma Bernama di Kuala Lumpur, malam tadi.

Menurut beliau, Nafas turut menghantar seramai 2,400 sukarelawannya ke kawasan yang dilanda banjir bagi membantu membersihkan kawasan kediaman mangsa selepas banjir.

Dalam pada itu, Saipolbahari berkata Nafas sedang mengenal pasti jumlah anggotanya di seluruh negeri yang terjejas oleh banjir baru-baru ini dan nilai kerugian sebenar yang dialami.

"Kita masih dalam perincian jumlah ahli yang terjejas dan nilai keseluruhan kerosakan, yang mana ianya memakan masa," katanya.

Setakat ini, seramai 850,000 peladang menganggotai 277 PPK dan 14 PPN di seluruh negara.

- Bernama

Lihat Komen
ADS