Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Permohonan 5 majlis agama ditolak
Diterbitkan:  Jan 27, 2015 10:48 AM
Dikemaskini: 5:39 AM

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan lima majlis agama negeri-negeri untuk mencelah dalam rayuan oleh kerajaan Negeri Sembilan berhubung kes kontroversi transgender yang didengar oleh mahkamah tertinggi itu hari ini.

Majlis-majlis agama yang memohon itu daripada Selangor, Perak, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan  permohonan Negeri Sembilan untuk mencelah kerana mempunyai kepentingan langsung dalam kes itu.

Sementara itu, beberapa pihak hari ini turut memohon menjadi pemerhati dalam kes itu, termasuk Umno dan Majlis Peguam.

Pada 7 Nov tahun lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan yang difailkan oleh tiga jurumekap pengantin - Muhamad Juzaili Mohamad Khamis, 26; Syukor Jani, 28; dan Wan Fairol Wan Ismail, 30 -- dan mengisytiharkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 sebagai tidak sah dan melanggar perlembagaan.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus memutuskan bahawa peruntukan itu menimbulkan diskriminasi terhadap lelaki Islam yang mengalami keadaan dikenali sebagai Kecelaruan Identiti Jantina (GID).

Mohd Hishamudin berkata Seksyen 66 yang menghukum lelaki Islam yang berpakaian atau berlagak seperti wanita di tempat-tempat awam, tidak memberikan pengecualian untuk penghidap GID tetapi mengabaikan mereka (penghidap GID) dan secara tidak adil meletakkan mereka tertakluk di bawah penguatkuasaan undang-undang.

Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakiman yang menolak permohonan untuk mengisytiharkan Seksyen 66 sebagai melanggar perlembagaan.

Dalam permohonan bagi semakan kehakiman, Muhamad Juzaili, Syukor dan Wan Fairol menamakan kerajaan Negeri Sembilan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, pengarahnya, ketua pegawai Penguatkuasa Syariah Negeri Sembilan dan ketua pendakwa Syarie Negeri Sembilan sebagai responden.

Lihat Komen
ADS