Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan kerajaan Negeri Sembilan dan empat yang lain untuk membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan mengisytiharkan sebagai tidak sah Enakmen Jenayah Syariah negeri yang menghukum lelaki Islam berpakaian wanita.

    

Empat anggota panel hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Raus Md Sharif membenarkan permohonan kebenaran untuk merayu terhadap keputusan tentang satu persoalan undang-undang yang akan dibincangkan dan ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan dalam pendengaran rayuan itu.

    

Persoalan undang-undang yang dipertimbangkan oleh mahkamah adalah sama ada seksyen 66 enakmen jenayah syariah Negeri Sembilan (Negeri Sembilan) 1992 melanggar Perkara 5 (1), Perkara 8 (1),  Perkara 8 (2), Perkara 9 (2) dan Perkara 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan.

    

Perkara 5 berkaitan dengan hak rakyat untuk hidup dan kebebasan manakala Perkara 8 mengenai kesamaan. Perkara 9 memperkatakan larangan buang negeri dan hak seseorang warganegara untuk bergerak dan Perkara 10 berkaitan hak warganegara dalam kebebasan memberi pendapat.

    

Raus juga berkata satu tarikh akan ditetapkan tidak lama lagi untuk pengurusan kes rayuan selain tarik

Empat pemohon lain adalah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan; pengarahnya;  ketua penguatkuasaan Syariah negeri dan ketua pendakwa Syarie Negeri Sembilan.

    

Sebelum itu, panel yang sama, yang juga terdiri daripada empat hakim lain, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Zaharah Ibrahim - membenarkan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan untuk mencelah dalam rayuan itu.

    

Bagaimanapun, mahkamah menolak usaha lima Majlis Agama Islam lain, dari Perak, Wilayah Persekutuan, Selangor, Pulau Pinang dan Johor untuk mencelah dalam rayuan dan berkata mereka boleh menjadi pemerhati dalam rayuan sebagai 'amicus curiae' (rakan mahkamah).

    

Aston Paiva, peguam responden -- Muhamad Juzaili Mohamad Khamis, Syukor Jani, dan Wan Fairol Wan Ismail membantah permohonan majlis-majlis untukmencelah dalam rayuan, dengan berkata mereka tidak mempunyai kepentingan secara langsung dalam rayuan namun majlis-majlis terbabit berhujah mereka juga ada kepentingan.

    

Antara alasan yang diberikan oleh majlis-majlis ialah bahawa isu-isu yang dikumpul di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan adalah berkenaan ajaran Islam dan bahawa majlis-majlis bertindak sebagai penasihat kepada raja-raja di negeri yang juga ketua Agama Islam.

Seorang pemohon dalam kes-kes sivil terlebih dahulu perlu mendapat kebenaran untuk meneruskan dengan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

    

Sementara itu, peguam para pemohon Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata anak guamnya mempunyai masa sebulan untuk memfailkan notis rayuan dan memorandum rayuan mereka.

    

Pada 7 Nov tahun lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Muhamad Juzaili, 26, Syukor, 28 dan Wan Fairol, 30, dan mengisytiharkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan (Negeri Sembilan) 1992, sebagai tidak sah.

    

Tiga anggota panel hakim Mahkamah Rayuan, dipengerusikan Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus, memutuskan seksyen itu tidak sah di sisi perlembagaan kerana ia mendiskriminasi lelaki Islam yang menghidapi keadaan dikenali sebagai masalah identiti gender (GID0 dari segi kesihatan.

    

Hishamudin berkata penghidap GID akan terus hidup dalam keadaan tidak pasti, sengsara dan rasa malu sekiranya Seksyen 66 masih dikuatkuasakan, dan menurutnya ketetapan itu telah mewujudkan keadaan tidak selamat dan terdedah kepada penghinaan dalam kehidupan lelaki Islam yang menghidap GID.

Mahkamah Rayuan mengubah keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman oleh ketiga-tiga mereka untuk mengisytiharkan seksyen 66 sebagai tidak mengikut perlembagaan.

    

Dalam semakan kehakiman mereka, Muhamad Juzaili, Syukor dan Wan Fairol, yang merupakan jurumekap pengantin, mendakwa seksyen 66 tidak terpakai kepada mereka yang merupakan penghidap GID dan mereka telah menyerahkan laporan perubatan daripada Hospital Kuala Lumpur yang mengesahkan mereka menghidap masalah itu iaitu mereka mempunyai kecenderungan untuk berpakaian seperti wanita kerana mereka berpendapat naluri dan identiti mereka sebenarnya adalah wanita.

    

Dalam prosiding mahkamah hari ini, Muhammad Shafee berkata ada tujuh persoalan undang-undang yang diajukan para pemohon bagi Mahkamah Persekutuan memutuskan namun Aston berkata beliau hanya bersetuju dengan persoalan perlembagaan dan bukan persoalan berkaitan isu-isu lain.

    

Raus menangguhkan proosiding selama 30 minit untuk pihak-pihak dalam perkara itu berbincang dan mengubal satu persoalan perlembagaan yang umum.

    

Apabila proosiding disambung semula, Muhammad Shafee memberitahu mahkamah bahawa pihak-pihak berkenaan tidak dapat merumuskan satu persoalan undang-undang yang umum, menyebabkan Raus merangka satu soalan.

Dalam rayuan itu, Badan Peguam juga bertindak sebagai 'amicus curiae'.

    

Tujuh organisasi juga dibenarkan untuk menjadi peguam pemerhati.

    

Organisasi itu ialah Malaysian Centre For Constitutionalism and Human Rights & Article 19, Human Rights Watch, International Commission of Jurists,  Umno, Pertubuhan Wanita dan Kesihatan Kuala Lumpur, Persatuan Kesihatan Mental Malaysia dan World Professional Association for Transgender Health.

    

Sementara itu, Ketua Sekretariat Perundangan UMNO Malaysia Datuk Khairul Anwar Rahmat memberitahu media bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan untuk membenarkan UMNO menjadi peguam pemerhati dalam kes itu adalah keputusan yang tepat.

    

Kata Khairul Anwar, UMNO yang dianggotai lebih tiga juta anggota beragama Islam mempunyai kepentingan secara langsung terhadap apa-apa kes yang membabitkan kesucian dan kedudukan agama Islam.

    

"UMNO adalah parti tonggak pemerintahan Barisan Nasional di peringkat Persekutuan adalah berkepentingan untuk menghalusi perjalanan prosiding rayuan di Mahkamah Persekutuan.," kata beliau.

    

Khairul berkata UMNO tidak berhasrat untuk menganiaya atau mendiskriminasi golongan transgender, namun ingin memberikan perspektif yang tepat berkenaan perbicaraan kes itu.

    

"Sesungguhnya, ini adalah isu perlembagaan, hak asasi manusia dan kedudukan agama Islam, justeru, apa saja keputusan akan menentukan landskap perundangan dan rakyat Malaysia seterusnya.

    

-Bernama

Lihat Komen
ADS