Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah Persekutuan benar TV3 merayu
Diterbitkan:  Jan 27, 2015 6:44 PM
Dikemaskini: 11:02 AM

Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini membenarkan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) merayu terhadap keputusan yang mendapati stesen televisyen itu bersalah kerana memfitnah bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkaitan tweet beliau mengenai nombor pendaftaran kenderaan WWW1.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, yang mempengerusikan panel lima anggota, memberi kebenaran kepada TV3 untuk merayu berasaskan persoalan undang-undang, yang akan dipertimbang dan diputuskan Mahkamah Persekutuan.

Persoalan itu ialah sama ada korum Mahkamah Rayuan bersikap berat sebelah berikutan hubungan yang wujud sebelum ini antara pengerusinya dan Mohammad Nizar.

Empat lagi hakim yang mengganggotai panel itu ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Ahmad Maarop dan Datuk Mohamed Apandi Ali.

Pada 25 Februari tahun lepas, panel Mahkamah Rayuan, yang dipengerusikan Hakim Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, memberi kebenaran kepada Mohammad Nizar untuk merayu dan mengembalikan kes itu ke Mahkamah Tinggi untuk menentukan jumlah ganti rugi setelah ia (Mahkamah Rayuan) mendapati TV3 bersalah kerana memfitnah.

Mahkamah Rayuan mengubah keputusan Mahkamah Tinggi yang menyebelahi TV3 dan menolak saman fitnah RM50 juta yang dikemukakan Mohammad Nizar terhadap stesen televisyen itu.

Mohammad Nizar menyaman TV3 dan penerbit Buletin Utama, Rohani Ngah, berhubung komennya mengenai kejayaan Sultan Johor memperoleh nombor pendaftaran kenderaan itu dengan bidaan RM520,000 pada Mei 2012.

Mahkamah Persekutuan juga menanggguhkan keputusannya ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak mengenai rayuan Utusan Melayu (M) Bhd untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung nombor pendaftaran kenderaan itu.

Md Raus berkata panel itu akan mendengar permohonan Utusan Melayu (M) Bhd untuk mendapatkan kebenaran merayu selepas mahkamah berkenaan mendengar rayuan TV3 berdasarkan persoalan undang-undang tersebut.

Peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mewakili Utusan Melayu (M) Bhd, manakala Mohammad Nizar diwakili peguam Fitri Asmuni.

 

Pada 6 Disember 2013, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Utusan Melayu (M) Bhd terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahnya membayar ganti rugi RM250,000 kepada Mohammad Nizar berhubung artikel berbaur fitnah dalam isu nombor pendaftaran kenderaan WWW1.

- Bernama

Lihat Komen
ADS