Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
UPSR: 2 pegawai Lembaga Peperiksaan tiada kaitan
Diterbitkan:  Jan 27, 2015 7:39 PM
Dikemaskini: 11:41 AM

Dua pegawai Lembaga Peperiksaan Malaysia yang digantung kerja berhubung kes kebocoran soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah

(UPSR) tahun lepas, didapati tiada kaitan dengan kes itu.

    

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata kedua-dua mereka, bekas pengarah lembaga itu Dr Na'imah Ishak dan bekas timbalan pengarah operasinya Dr Wan Ilias Wan Salleh masih berkhidmat tetapi tidak lagi memegang portfolio mereka sebelum ini.

    

"Siasatan telah dilakukan Jawatankuasa Bebas Mengkaji Pengurusan Peperiksaan Awam di Malaysia. Jawatankuasa itu telah menyerahkan dapatan mereka dan beliau (Dr Na'imah) didapati tidak bersalah," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari

ini, dan menurutnya begitu juga dengan Dr Wan Ilias.

    

Terdahulu, Idris menyaksikan majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Admissions Testing Service, University of Cambridge.

    

Keputusan untuk menggantung kedua-dua mereka diambil berikutan kebocoran soalan peperiksaan kertas Bahasa Inggeris dan Sains.

Berikutan kebocoran itu, peperiksaan UPSR bagi kertas 014/1 dan 014/2 Bahasa Inggeris dan kertas 018, 028 dan 038 Sains diadakan semula pada 30 Sept.

    

Juga didapati berlaku kebocoran soalan kertas 036 dan 037 Bahasa Tamil dan kertas 015/1, 025/1 dan 035/1 Matematik dan peperiksaan semula diadakan pada 9 Okt.

    

Jawatankuasa bebas itu menyerahkan laporan berhubung peperiksaan UPSR 2014 kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pendidikan pada 21 Jan.

    

Dokumen diserahkan oleh pengerusi jawatankuasa Tun Zaki Azmi itu antara lain mengandungi 15 cadangan untuk menambah baik peperiksaan awam, melibatkan definisi dan proses kerja daripada peringkat penerbitan, operasi dan pengurusan.

    

Ia juga mengandungi analisis dan penilaian proses kerja dan prosedur operasi standard peperiksaan awam yang dikendalikan Lembaga Peperiksaan Malaysia.

    

Laporan itu menyatakan jawatankuasa bebas itu mengadakan perjumpaan sebanyak 22 kali dan memperoleh input daripada taklimat, temuramah, lawatan kerja dan orang awam.

MoA itu bertujuan menyediakan platform dan perkhidmatan penilaian berkaitan dengan pemilihan pemohon bagi program asasi dan ijazah UTP.

    

Naib Canselor UTP Datuk Dr Abdul Rahim Hashim dan Simon Beeston, Pengarah Admissions Testing Service, menandatangani perjanjian itu bagi organisasi masing-masing.

    

Dalam perkembangan lain, Idris berkata kerajaan komited untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di sekolah, termasuk menjalin kerjasama dengan Cambridge University.

    

Beliau berkata 5,000 guru mengikuti latihan bahasa Inggeris tahun lepas.

    

"Kira-kira 9,500 guru sedang menjalani latihan dan sepatutnya tamat pada pertengahan tahun ini," kata Idris dan menurutnya ini akan disusuli dengan satu lagi kohort terdiri kira-kira 8,000 guru.

    

-Bernama

Lihat Komen
ADS