Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
T'ganu latih pembantu rumah tempatan
Diterbitkan:  Jan 28, 2015 10:47 AM
Dikemaskini: 6:52 AM

Terengganu menjadi negeri pertama pengeluar tenaga kerja dalam bidang pengurus kediaman (home manager) dengan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) menjadi perintis program berkenaan bermula bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Muhammad Pehimi Yusof berkata matlamat kerajaan antaranya untuk membantu masyarakat mendapatkan pembantu rumah orang tempatan selain menyediakan pekerjaan kepada golongan wanita seperti ibu tunggal.

"Kita tidak mahu lagi pembantu rumah terdiri daripada warga asing dengan jumlah bayaran yang dikenakan sangat tinggi, kadang kala pembantu rumah warga asing memberi khidmat yang tidak terjamin," katanya ketika merasmikan kursus pengurus kediaman siri pertama.

Muhammad Pehimi berkata kerajaan negeri telah memperuntuk sejumlah RM1 juta kepada Permodalan YPK Sdn Bhd, untuk menjayakan kursus kemahiran itu secara teori dan praktikal.  

Katanya dari peruntukan itu peserta juga disediakan dengan kemudahan pinjaman kenderaan, insuran, simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), insuran, Socso dan unifom dengan gaji permulaan sebanyak RM900.

Beliau berkata antara syarat yang dikenakan kepada majikan yang ingin mendapatkan khidmat pengurus kediaman iaitu mereka hendaklah menandatangani satu perjanjian dengan Permodalan YPK Sdn Bhd selain bayaran pendahuluan selama tiga bulan.

Muhammad Pehimi berkata seramai 30 peserta bagi sesi pertama itu telah mengikuti kursus selama 14 hari dan selepas ini akan mengikuti latihan praktikal selama sebulan.

Katanya buat masa ini YPK akan melatih tenaga kerja pengurus kediaman untuk daerah Kuala Terengganu dahulu, sebelum ke daerah-daerah lain.

Di Terengganu terdapat lebih 23,000 ibu tunggal yang kebanyakannya tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Sementara itu, seorang peserta Haslinda Mohd Atik, 33, dari Kampung Tok Adis, Kuala Ibai berkata beliau sangat teruja dengan program itu yang dapat membantu beliau mendapatkan pendapatan tetap selain pelbagai kemudahan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS