Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, kerjasama antara PAS dan Pakatan Rakyat akan tetap diteruskan dan kukuh walaupun sekiranya Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dimasukkan ke dalam penjara.

Ini kerana, Mustafa berkata, semasa Barisan Alternatif ditubuhkan, Anwar pada ketika itu berada di dalam penjara dan sebarang mesyuarat di pengerusikan oleh Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

"Itu bukan sebab (PAS nak keluar Pakatan). Lagi kukuh Pakatan Rakyat sebab kita bertanggungjawab meneruskan (Pakatan)," katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita ketika ditanya sama ada PAS akan keluar daripada Pakatan sekiranya keputusan Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari depan memutuskan Anwar dipenjarakan.

Selain itu, ketika ditanya bagaimana situasi Pakatan sekiranya ketiadaan Anwar, Mustafa berkata ia tetap akan berjalan seperti biasa memandangkan Presiden PKR Wan Azizah dan timbalannya Mohamed Azmin Ali masih ada bagi melaksanakan tugas parti.

"Anwar tak ada, Kak Wan (Wan Azizah) ada, Azmin ada. Itu pimpinan dia (PKR), presiden, timbalan. Kita kerjasama dengan parti bukan dengan orang. Tak ada tu pun (Anwar) tak ada masalah. Waktu kita tubuhkan Barisan Alternatif dulu pun Anwar di dalam (penjara).

"Tapi masih berjalan. Kak Wan pengerusikan mesyuarat dan masa itu arwah (bekas presiden PAS) Ustaz Fadzil (Noor) pun ada," katanya lagi.

Keputusan rayuan terakhir Anwar terhadap hukuman dan sabitan kes liwat terhadapnya akan diumumkan pada 10 Februari ini.

Anwar, 67, sebelum ini dijatuhkan hukuman lima tahun penjara tetapi pasukan pendakwaan merayu hukuman lebih berat dikenakan.

Ekoran itu, Ketua Pemuda MCA Chong Sin Woon semalam berkata , hubungan PAS dan DAP mungkin menjadi lebih buruk sekiranya Anwar disabit.

Malah, Chong (kanan) berkata, jika Anwar dipenjarakan, Pakatan akan kehilangan salah seorang daripada orang penting yang boleh membawa bersama parti-parti dalam gabungan itu.

 

Chong turut meramalkan PAS dan DAP mungkin berpecah dan "kita mungkin menyaksikan Umno dan PAS membentuk gabungan lain di Kelantan".

Lihat Komen
ADS