Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengurusan kes Iszuree ditetap pada 9 Feb
Diterbitkan:  Jan 28, 2015 4:21 PM
Dikemaskini: 8:23 AM

Mahkamah Tinggi George Town menetapkan 9 Februari ini untuk pengurusan kes bendahari PAS Pulau Pinang Iszuree Ibrahim yang mencabar keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhubung pemecatannya daripada semua jawatankuasa tetap Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan pembekuan peruntukannya.

    

Penolong Kanan Pendaftar Nor Azah Idris menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas bertemu peguam Mohd Haris Abdullah yang mewakili Iszuree.

    

Mohd Haris memberitahu pemberita tarikh itu ditetapkan untuk mengetahui perkembangan berkenaan kebenaran yang dipohon oleh anak guamnya dalam kes itu.

    

Pada 14 November tahun lepas, Iszuree memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai responden pertama, MPPP sebagai responden kedua dan kerajaan negeri Pulau Pinang sebagai responden ketiga.

    

Beliau memfailkan permohonan itu untuk membatalkan surat responden kedua bertarikh 26 September 2014 dan keputusan responden pertama yang dibuat pada 25 September 2014 yang telah memutuskan Iszuree dikeluarkan daripada semua jawatankuasa tetap responden kedua dan pembekuan semua peruntukannya.

Beliau juga memohon kebenaran mahkamah untuk membatalkan surat responden kedua bertarikh 29 September 2014 dan keputusan responden pertama yang dibuat pada 25 September 2014 yang telah memutuskan bahawa beliau dikeluarkan daripada semua jawatankuasa tetap responden kedua, mesyuarat ad-hoc dan pembekuan peruntukan secara serta merta.

    

Tuntutan lain yang dibuat ialah sekiranya mahkamah menerima kedua-dua permohonan itu, Iszuree juga memohon perintah sementara untuk menggantung keputusan responden pertama yang disampaikan kepadanya melalui surat responden kedua bertarikh 26 September dan 29 September 2014 sehingga usul substantif didengar.

    

Beliau juga memohon responden pertama, kedua dan ketiga membayar ganti rugi kepadanya seperti yang ditaksirkan oleh mahkamah kelak dan kos permohonan sampingan ditanggung dan dibayar oleh ketiga-tiga responden dalam apa keadaan sekalipun.

- Bernama

Lihat Komen
ADS