Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lelaki warga India ditahan disyaki palsu PLKS
Diterbitkan:  Jan 29, 2015 1:15 PM
Dikemaskini: 5:18 AM

Jabatan Imigresen Negeri Sembilan menahan seorang lelaki warga India di Brickfields, Kuala Lumpur semalam kerana disyaki menjalankan aktiviti pemalsuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

    

Suspek yang berusia 30-an, ditahan dalam Ops Brickfield membabitkan 15 anggota Jabatan Imigresen Negeri Sembilan dan lima pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    

Pengarahnya, Faizal Fazri Othman berkata dalam serbuan di sebuah premis bermula 3 petang itu, pihaknya turut merampas beberapa salinan PLKS yang diedit menggunakan perisian Photoshop, dua set komputer dan mesin pencetak.

    

"Operasi itu dijalankan hasil penemuan beberapa PLKS palsu di Seremban dan siasatan lanjut mendapati pas terbabit diperoleh melalui sindiket yang beroperasi di Brickfields, Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan di Seremban hari ini.

    

Katanya pemeriksaan lanjut di rumah suspek utama kemudiannya, menemukan lima keping pasport pelbagai warga negara, pas khas palsu dan salinan PLKS yang telah diubah suai.

    

"Turut disita di rumah itu sebuah komputer riba, sebuah pencetak dan beberapa pasport negara asing. Siasatan masih dijalankan dan dijangka beberapa lagi tangkapan akan dilakukan dalam masa terdekat. Operasi itu berakhir 1.30 pagi ini dan menahan beberapa warga asing atas pelbagai kesalahan.," katanya.

    

Selain itu, SPRM turut menahan seorang lelaki warga India dan dua lelaki tempatan kerana menawarkan rasuah RM3,000 dan RM2,500 kepada dua pegawai Imigresen sepanjang operasi itu dijalankan.

    

-Bernama

Lihat Komen
ADS