MP Shah Alam Khalid Abdul Samad bimbang sekiranya rang undang-undang baru bagi membenteras aktiviti keganasan memperuntukkan kuasa penahanan tanpa bicara seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Katanya, beliau bimbang akta tersebut akan disalahgunakan kerana peruntukan seperti itu tidak akan memberi peluang kepada pesalah untuk membela diri.
"Kalau akta antikeganasan ini kembali dengan unsur seperti ISA iaitu tahan tanpa bicara, saya seru rakyat menolaknya.
"Kerana sistem ini, sesiapa sahaja boleh dituduh dan tanpa bukti, boleh ditahan dan tidak diberi peluang untuk membela diri," katanya pada sidang media di pejabatnya di Shah Alam hari ini.
Saranan untuk menerapkan peruntukan penahanan tanpa bicara itu disuarakan oleh seorang pakar undang-undang, Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed.
Beliau mencadangkan tempoh penahanan tanpa bicara selama setahun bagi memberi ruang pihak berkuasa menyiasat dan mendapatkan bahan bukti.
Kerajaan berhasrat agar peruntukan itu akan memperkuat lagi undang-undang sedia ada iaitu Akta Kesalahan, Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Jenayah (PoCA).
Rang undang-undang Anti Keganasan dijangka dibentang di Dewan Rakyat pada Mac depan.