Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kaji semula undang-undang keutamaan SKMM'
Diterbitkan:  Jan 29, 2015 5:56 PM
Dikemaskini: 10:30 AM

Kajian semula ke atas  Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (ASKMM 1998) dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) menjadi keutamaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada tahun ini, kata pengerusinya, Datuk Seri Dr Halim Shafie.

Menurutnya, kajian semula itu yang dijangka siap menjelang pertengahan tahun ini, disasar untuk dibentangkan di Parlimen sebelum akhir tahun ini. Kajian semula bertujuan untuk mempertingkat tadbir urus dalam SKMM melalui pemisahan peranan Ketua Eksekutif daripada peranan Pengerusi.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, usaha tersebut akan memastikan wujudnya kesinambungan dan pengimbangan tanggungjawab dalam organisasi berkenaan.

Ketika ini, Dr Halim menghitung hari untuk melaksanakan tugas-tugas tertentu yang telah diberikan kepadanya oleh Ahmad Shabery apabila beliau bersetuju untuk keluar daripada tempoh persaraan untuk menerajui semula SKMM.

Tempoh perkhidmatan selama dua tahun Dr Halim sebagai Pengerusi MCMC bermula pada pertengahan Januari lalu.

  

"Dua tahun bukanlah satu tempoh yang sangat lama," kata Dr Halim semasa Sesi Ramah Mesra Bersama Media yang dianjurkan oleh beliau untuk editor-editor media tempatan di ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya, hari ini.

"Turut terkandung dalam senarai keutamaan Menteri kepada saya ialah keinginan melihat suatu alam siber yang mana rakyat Malaysia boleh berinteraksi dan berkomunikasi antara satu sama lain secara positif.

"Sepanjang tempoh 15 tahun yang lalu, sejak AKM 1998 mula dikuatkuasakan dan Malaysia memberikan fokus kepada aspek penumpuan (convergence), begitu banyak perkara yang telah berubah. Kita telah mencapai tahap di mana kita mempunyai rangkaian di merata-rata tempat. Justeru, penekanan perlu diberikan kepada aspek kandungan," kata Dr Halim.

"Kita ingin melihat keleluasan rangkaian ini digunakan secara positif dari aspek sosial agar kemudahan internet meluas mendatangkan kesan yang membina kepada negara melalui persekitaran yang kaya dengan kandungan dan aplikasi.

"Malah, dengan infrastruktur yang dibangunkan, utiliti kandungan menjadi lebih kritikal dan kami perlu mengisi ruangan dalam sektor-sektor seperti kewangan, kesihatan dan pendidikan. Hal ini memerlukan tahap integriti dan keselamatan yang tinggi

dalam sistem rangkaian kami yang perlu ditambah baik dari semasa ke semasa.”

Malaysia merupakan salah sebuah negara pertama di dunia yang mengamalkan aspek penumpuan apabila AKM 1998 diluluskan oleh Parlimen.

Dr Halim bersetuju dengan pandangan Ahmad Shabery bahawa kajian semula AKM 1998 bukan hanya bertujuan mencipta sebuah dunia maya yang sihat tetapi juga persekitaran siber yang holistik lagi sihat menyedari perkhidmatan komunikasi dan multimedia bukan sahaja boleh mempengaruhi ekonomi bahkan juga budaya dan tradisi.

"Jika perubahan perlu dibuat kepada undang-undang, perubahan tersebut harus memberikan tumpuan kepada usaha merangsang lagi pertumbuhan kreativiti, inovasi dan kandungan, di samping mewujudkan dunia maya yang sihat untuk kerajaan dan pembangunan industri," tegas Dr Halim.

Sebelum ini, Ahmad Shabery telah mengumumkan penekanan yang lebih menyeluruh akan diberikan kepada aspek pendigitalan untuk negara. Beliau juga berminat untuk meneruskan inisiatif digital yang akan merangkumi prasarana keras dan mudah.

Dr Halim berkata, "Menteri adalah betul untuk mengatakan negara memerlukan pendigitalan jika mahu terus berdaya-saing sebagai sebuah negara. Oleh itu MCMC akan memberikan tumpuan kepada pembangunan dan utiliti kandungan secara khususnya. Sudah tentu, kita perlu sentiasa memantau isu-isu seperti kualiti, kelajuan dan kemampuan."

"Apa yang perlu kita lakukan ialah memanfaatkan keleluasaan tersebut.  Utiliti kandungan perlu ditingkatkan kerana masa depan penyampaian perkhidmatan awam bergantung kepada hal ini dan ia akan memberi impak yang cukup besar kepada rakyat. Nescaya, ini akan meningkatkan persekitaran siber yang sihat. Apa yang perlu kita lakukan adalah memastikan dunia maya kita sihat dan selamat untuk kerajaan, industri dan rakyat," katanya.

"Kami sedar akan potensi perkhidmatan Komunikasi dan Multimedia dalam pembangunan negara dan oleh sebab itu, kita perlu sentiasa menyemak semula rangka kerja kawalselia supaya ia sesuai untuk semua pihak, dari semua sudut dan perspektif."

"Biarpun tugas ini kelihatan sukar dan mustahil, kita perlu meramal masa depan dan melihat melewati tahun 2020 khususnya dari segi peranan perkhidmatan Komunikasi dan Multimedia,” tambahnya lagi.

Sebelum pelantikan semula sebagai Pengerusi SKMM, Dr Halim, 65, merupakan Pengerusi Telekom Malaysia, jawatan bukan eksekutif yang disandang beliau selama hampir enam tahun selepas tempoh perkhidmatan beliau dengan SKMM berakhir.

Dr Halim pernah berkhidmat sebagai Pengerusi SKMM dari April 2006 sehingga Mei 2009. Sebelum itu, Dr Halim merupakan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi selama enam tahun.

Ketika ditanya mengenai perasaan beliau apabila dilantik sebagai Pengerusi MCMC buat kali kedua, Dr. Halim menjelaskan, “ia merupakan satu tempoh yang sukar dan beliau agak berhati-hati pada beberapa hari pertama perkhidmatan.

"Namun saya tahu saya mendapat sokongan daripada pegawai-pegawai MCMC yang kebanyakannya pernah berkhidmat bersama-sama dengan saya semasa pelantikan terdahulu. Saya berterima kasih kerana diberikan peluang untuk menyumbang semula kepada pertumbuhan dan pembangunan sektor ini. Tambahan pula, adalah sukar untuk saya untuk mengatakan tidak kepada Menteri,” kata Dr Halim.

Tempoh perkhidmatan Dr. Halim sebagai Pengerusi SKMM adalah dari Januari 2015 sehingga Januari 2017.

- Bernama

Lihat Komen
ADS