Bekas Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu berkata, beliau bersetuju untuk menjadi orang tengah bagi mendamaikan krisis antara penggantinya, Datuk Seri G Palanivel dan timbalan presiden Datuk Seri Dr S Subramaniam.
Bagaimanapun, Samy berkata, beliau akan berbuat demikian sekiranya perkara itu diminta oleh Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak.
"Kita tak boleh nak melangkau sempadan dan beritahu kamu mahu jadi orang tengah. Tidak. Tetapi jika mereka mahu saya untuk menjadi orang tengah, saya akan jadi orang tengah," katanya.
Samy Vellu berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada beliau bersedia sekiranya Najib yang juga perdana menteri memintanya menjadi orang tengah bagi menyelesaikan krisis MIC.
Beliau ditemui selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Pengajian Tamil ke-9 di Universiti Malaya hari ini. Persidangan itu dirasmikan oleh perdana menteri.
Selain itu, Samy Vellu yang juga duta khas infrastruktur Malaysia ke India dan Asia Selatan turut menasihatka ahli politik supaya memikirkan tentang masyarakat India terlebih dahulu, berbanding kuasa.
"Saya harap perkara ini (krisis MIC) akan selesai secepat mungkin kerana ia tidak bagus untuk komuniti kaum India.
"Ahli politik ini sepatutnya fikir tentang komuniti dulu berbanding fikir tentang siapa yang akan dapat kuasa.
"Sesiapa pun boleh berkuasa sekiranya mereka dipilih rakyat," katanya lagi.
Selain itu, ditanya mengenai pelbagai laporan yang menggambarkan konflik MIC kini semakin buruk , Samy berkata beliau bersetuju dengan perkara itu.
Samy Vellu mendakwa, berbeza semasa beliau menjadi presiden dulu, pemimpin yang ada kini lupa diri sehingga mengabaikan peranan mereka untuk berkhidmat kepada komuniti India.
"Tiada siapa yang pedulikan komuniti India dan parti. (Di pejabat) ada empat, lima orang sahaja yang bekerja. Ini bukan MIC yang saya pernah tadbir dulu.
"Pemimpin sekarang tak ada masa untuk ke pejabat parti dan memberi khidmat pada komuniti.
"(Dengan keadaan sedemikian) adakah mereka dapat menyelamatkan parti hari ini? Mereka sekarang tiada masa untuk komuniti dan lupa diri," kata Samy yang pernah menjadi menteri kerja raya.
Perbezaan pendapat timbul dalam MIC berikutan arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya parti itu mengadakan pemilihan semula bagi tiga jawatan naib presiden dan 23 anggota jawatankuasa pusat (CWC).
Ekoran pelbagai kekecohan yang timbul, Subramaniam dan Palanivel kini dilaporkan akan "berdiam diri" dengan mengadakan moratorium bagi menyelesaikan krisis itu.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau dan Najib akan memanggil dua pemimpin tertinggi MIC itu dalam masa terdekat bagi menyelesaikan masalah tersebut.