Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR Johor minta Zahid perjelas projek IPK
Diterbitkan:  Jan 31, 2015 4:00 PM
Dikemaskini: 8:36 AM

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diberi masa sehingga Rabu depan untuk menjelaskan mengenai projek pembinaan ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Johor bernilai RM103 juta yang terbengkalai sejak 2010.

ADUN Bukit Batu, Jimmy Puah dan Pengarah Strategi AMK, Akmal Nasir berkata mereka akan mengemukakan pendedahan baru jika Zahid tidak membuat penjelasan dalam tempoh itu.

"Berdasarkan lawatan kami ke tapak projek, projek pembinaan tambahan ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Johor yang terletak di bandar Johor Bahru yang bermula sejak tahun 2010 masih terbangkalai," kata mereka dalam satu kenyataan.

Menurut mereka, perkara itu dibangkitkan di dewan undangan negeri Johor dan pengumuman dibuat yang projek itu sepatutnya siap  pada Julai 2013.

Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof pada Jun lalu dilaporkan berkata kontraktor asal ditamatkan perkhidmatan kerana masalah kewangan dan kualiti kerja.

Menurut Puah dan Akmal lagi, perkara tersebut menarik perhatian Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkara itu.

"Malangnya PAC dan SPRM juga masih gagal untuk membentangkan sebarang maklumat berkenaan hasil siasatan mereka atau sekurang-kurangnya memberikan penjelasan mengapa projek pembinaan IPK Johor lewat dan sehingga kini masih terbengkalai," kenyataan mereka dipetik.

Puah dan Akmal menggesa Zahid sebagai menteri berkenaan menjawab soalan-soalan berikut:

1. Siapakah kontraktor yang bertanggungjawab yang menyebabkan projek ini gagal dan apakah kriteria pemilihan kontraktor?

2. Apakah status terkini pembinaan? Bilakah projek ini dijangka akan siap?

3. Apakah tindakan yang dikenakan dan akan dikenakan kepada kontraktor tersebut yang gagal memenuhi syarat kontrak iaitu menyiapkan projek menjelang Julai 2013?

4. Adakah terdapat projek-projek pembinaan untuk kontinjen polis di tempat lain yang turut mengalami kelewatan atau terbengkalai?

5. Apakah kesan kelewatan projek ini terhadap tugasan dan kelancaran kontinjen polis Johor?

"Jika gagal memberi respon atau jawapan yang memuaskan sebelum Rabu ini, kami tiada pilihan melainkan untuk tampil dengan pendedahan yang berikutnya," kata mereka lagi.

Lihat Komen
ADS