Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini bertitah kerajaan perlu meneruskan kecemerlangan pentadbiran Wilayah Persekutuan bagi menjamin kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

Seri Paduka bertitah kecemerlangan pentadbiran penting kerana keadaan ekonomi peringkat global pada tahun 2015 mungkin meruncing berikutan penurunan harga minyak di seluruh dunia, yang akan memberi impak langsung ke atas ekonomi negara.

"Beta berharap dengan kecemerlangan pentadbiran ini akan memastikan kemakmuran, kesejahteraan dan keceriaan yang berpanjangan bagi rakyat Beta di bumi bertuah Wilayah Persekutuan.

"Oleh itu juga, sayugia seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga Wilayah Persekutuan, untuk terus bekerja keras dan dengan penuh iltizam bagi memakmurkan negara Malaysia yang tercinta," titah baginda pada majlis istiadat pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan di Istana Negara di Kuala Lumpur.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan barisan Menteri Kabinet lain turut serta dalam majlis yang diadakan di Balairung Seri tersebut.

Tuanku Abdul Halim turut mengucapkan tahniah kepada pentadbiran di bawah pimpinan Najib kerana kecemerlangan mereka dalam merancang pembangunan dan mengurus pentadbiran di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan.

Dalam pada itu, baginda menggesa semua lapisan masyarakat agar bersatu hati dan memberi sokongan padu kepada jentera pentadbiran kerajaan dalam menghadapi cabaran tahun ini.

Seri Paduka juga mahu rakyat mengetepikan perbezaan kaum selain mengeratkan lagi silaturahim tanpa mengira kaum, keturunan, agama dan fahaman.

Mengimbas peristiwa penting pada 2014, baginda bertitah negara telah menghadapi pelbagai ujian tanpa diduga, termasuk pergolakan ekonomi dunia yang memberi kesan terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

Namun titah Yang di-Pertuan Agong, dengan kebijaksanaan dan kecekapan kerajaan, Malaysia telah dapat mengharungi kemelut ekonomi tersebut, malah dapat menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang terus memberangsangkan.

Menyentuh tentang banjir besar yang melanda negeri-negeri pantai timur pada penghujung 2014, baginda bertitah walaupun menghadapi kesukaran, rakyat telah sama-sama tampil untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan dalam pelbagai aspek kepada mangsa banjir.

"Sesungguhnya, Beta berasa amat simpati atas nasib yang menimpa rakyat Beta.

Namun, Beta juga percaya, setiap daripada musibah yang berlaku itu ada terselindung rahmat di sebaliknya," titah Seri Paduka.

Baginda turut mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri, kerajaan serta semua pihak yang terlibat dalam membantu mangsa banjir.

"Beta amat yakin bahawa ia bukan sahaja akan mengukuhkan lagi tali persaudaraan sesama kita, malah akan menjadikan kita lebih teguh, lebih kuat dan sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi segala kemungkinan yang mendatang," titah baginda.

Kepada penerima-penerima pingat tahun ini, baginda juga mahu mereka menjaga maruah dan nama baik diri sewajarnya bagi mengekalkan kemuliaan dan martabat darjah dan pingat kebesaran yang dikurniakan.

Mendahului senarai 356 penerima pingat dan darjah kebesaran tahun ini ialah Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang dianugerahi Seri Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Antara penerima lain tahun ini termasuk pelakon aksi antarabangsa Jackie Chan yang menerima Panglima Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk.

Ketua Biro Sarawak Pertubuhan Berita Nasional Malaysia Abdul Aziz Harun turut dikurniakan pingat Ahli Mahkota Wilayah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS