Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saban tahun pada hari Thaipusam, Zulkiflee Ariffin secara suka rela meletakkan keretanya hampir sejauh satu kilometer dari rumahnya di Jalan Sungai Jelok, di Kajang, bagi memudahkan perarakan berhala dari kuil Sri Subramaniya Swamy di situ. 

Ia mungkin suatu perilaku yang biasa sahaja tetapi ia sebenarnya menunjukkan rasa hormat dan sikap toleransi beliau terhadap agama-agama lain.

"Lagipun, kita hidup dalam sebuah negara yang rakyatnya berbilang kaum dengan pelbagai perayaan diraikan... tidak salah untuk kita bertolak ansur antara satu sama lain," kata juruelektrik yang berusia 52 tahun itu kepada Bernama, sambil menambah kata bahawa telah menjadi rutin baginya untuk meletak kereta jauh dari rumahnya setiap kali perayaan Thaipusam sejak beliau berpindah ke Kajang 11 tahun lepas.

Perarakan biasanya bermula pada pukul 6 petang di Kuil Sri Subramaniya Swamy di Jalan Reko dan, dengan kira-kira 5,000 penganut Hindu berarak mengiringi kenderaan yang membawa berhala itu ke bandar sebelum kembali ke kuil semula selepas tengah malam.

Kefahaman memupuk perpaduan

   

Zulkiflee berkata beliau biasanya meletakkan kereta di luar kawasan rumah memandangkan anjung rumahnya yang kecil.

"Oleh kerana rumah saya terletak di sudut jalan, saya tahu kereta saya akan menghalang perarakan berhala itu apabila ia melintasi rumah saya. Itulah sebabnya saya memutuskan untuk meletak kereta di tempat lain saya semasa Thaipusam kerana ia akan memudahkan semua orang," katanya.

"Lagipun, ia hanya untuk sehari... jika kita menghormati orang lain, maka orang lain juga akan menghormati kita. Saya sentiasa mengamalkan dasar memberi dan menerima kerana saya percaya ia boleh membawa kepada perpaduan."

Zulkiflee menegaskan bahawa dalam kehidupan masyarakat berbilang kaum, toleransi dan persefahaman amat penting untuk mewujudkan persekitaran yang aman dan harmoni bagi semua orang.

Sementara itu, pengendali kuil Sri Subramaniya Swamy Dr R. Nambiar berkata beliau berterima kasih kepada masyarakat Kajang yang memberikan kerjasama dan penerimaan mereka terhadap ritual perayaan Thaipusam, yang meliputi acara sembahyang dan melaksanakan nazar di kuil serta perarakan bersama pembawa kavadi (penganut yang melaksanakan nazar dengan membawa satu struktur kayu atau keluli yang dihias pada bahu atau belakang mereka).

   

Kerjasama polis

"Setakat ini, saya tidak mendengar apa-apa aduan berkenaan berhubung sambutan Thaipusam. Memandangkan perayaan ini melibatkan aktiviti-aktiviti di tempat awam, beberapa jalan raya perlu ditutup kepada lalu lintas. Saya tahu ia menimbulkan kesulitan kepada ramai orang tetapi mereka rela bersabar menghadapinya... ini yang dimaksudkan dengan erti perpaduan," katanya.

Nambiar, yang telah menguruskan kuil itu selama 37 tahun, berkata Jalan Reko, di mana rumah ibadat itu terletak, biasanya ditutup kepada lalu lintas pada hari Thaipusam.

Memandangkan ia merupakan jalan yang sibuk, adalah satu "keajaiban" bahawa tiada pihak membuat aduan mengenai penutupan jalan itu kepada pihak berkuasa tempatan.

"Saya rasa mereka tahu dan memahami bahawa penutupan itu hanya sehari, orang ramai sedia memaklumi dan tidak keberatan menghadapi kesulitan yang timbul," katanya.

Thaipusam merupakan perayaan yang disambut penganut Hindu di seluruh dunia pada bulan 'Thai', iaitu bulan ke-10 dalam kalendar Tamil bagi menghormati Dewa Murugan, yang juga dikenali sebagai Tuhan Subramaniam, sempena memperingati hari lahir dewa itu.

Apa yang penting bagi Nambiar ialah memastikan perarakan pada hari Thaipusam berjalan lancar dan beliau berterima kasih dengan kerjasama polis dan semua pihak yang terlibat.

"Pihak polis tidak pernah mengarahkan kami mengenai apa yang boleh dilakukan atau apa yang tidak boleh... mereka memberi panduan kepada kami mengenai laluan dan lalu lintas," katanya.

Nambiar berkata pada perayaan kali ini, Tenaga Nasional Bhd membantu melakukan pemangkasan dahan-dahan pokok di sepanjang jalan untuk memastikan laluan perarakan berhala dan pembawa kavadi berjalan lancar.

Penutupan jalan

"Kami amat terharu dengan sokongan dan rasa hormat yang diberikan kepada aktiviti agama kami... bahkan majlis tempatan memberikan kelulusan segera untuk mendirikan gerai sementara dan tempat letak kereta," katanya.

Di Kuala Lumpur, beberapa jalan ditutup secara berperingkat mulai hari ini sehingga 4 Feb sempena Thaipusam, yang jatuh pada 3 Feb (Selasa).

Di Batu Caves, pusat tumpuan suasana perayaan Thaipusam sudah pun dirasai.

Ramai penganut malah pelancong, sudah tiba lebih awal mengunjungi kuil Sri Subramaniar Swamy Devasthanam, yang merupakan tumpuan utama perayaan Thaipusam di Kuala Lumpur.

Gerai jualan makanan, aksesori dan pakaian tradisional India turut didirikan dengan aktiviti perniagaan berlangsung rancak.

Pelancong Kanada Benjamin George, 35, berkata beliau terkejut melihat bagaimana festival itu berjaya menghimpunkan pelbagai masyarakat Malaysia.

"Saya melihat beberapa orang Cina memanjat anak-anak tangga di Batu Caves untuk bersembahyang di kuil. Saya juga melihat orang Melayu membeli barangan di gerai ... wow, mengagumkan," katanya.

Thaipusam turut diraikan secara besar-besaran di Kuil Arulmigu Sri Balathandayuthapani di Pulau Pinang dan Kuil Arulmigu Subramaniar yang terletak di bukit batu kapur Gunung Cheruh di Ipoh, Perak.

- Bernama

Lihat Komen
ADS