Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Spekulasi ringgit': Pemilik media ancam saman
Diterbitkan:  Feb 1, 2015 2:35 PM
Dikemaskini: 8:40 AM

Pemilik syarikat media Tong Kooi Ong hari ini mengancam mengambil tindakan undang-undang terhadap dakwaan beliau terlibat dalam spekulasi ringgit dan menyifatkannya sebagai “pembohongan”.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu,” katanya merujuk tulisan di blog berhubung perkara itu, termasuk sebuah blog menggunakan nama “Kronismemahathir”.

Sebuah lagi blog malah menggunakan kempen agresif dengan membayar iklan untuk mengetengahkan tulisannya.

Dalam kenyataannya, Tong berkata, jika dakwaan itu benar, sudah tentu Bank Negara akan menghubungi.

“Bank Negara tidak menghubungi saya dan saya berikrar memberikan kerjasama penuh jika Bank Negara memerlukan bantuan saya pada bila-bila masa pun,” kata Tong.

Bimbang sabotaj

Utusan Malaysia hari ini menuntut Tong, yang juga penganalisis kewangan menjawab dakwaan bahawa beliau terlibat dengan spekulasi ringgit.

“Memandangkan isu ini besar kerana melibatkan kedaulatan dan ekonomi negara, membabitkan tuduhan yang serius mempunyai nilai kepentingan awam yang tinggi serta menjadi antara bahan paling viral minggu ini, Tong tidak boleh lagi 'bersembunyi'.

“Untuk berlaku adil kepada Tong, beliau wajar tampil untuk menjawab segala tuduhan. Seseorang tidak boleh dianggap bersalah selagi didapati tidak bersalah,” tulis Awang Selamat dalam kolumnya.

Awang Selamat berkata, berdasarkan banyak reaksi penganalisis, ia dikhuatiri menjatuhkan nilai ringgit sebagaimana krisis kewangan pada 1990-an, malah dilihat sebagai “sabotaj”.

Lihat Komen
ADS