Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Beliau menghabiskan RM18,000 wang yang dikumpulkannya.

Beliau melupakan kerja sibuknya sebagai seorang ketua pengurus tukang masak sebuah hotel lima bintang di Singapura.

Beliau menempuh perjalanan hampir 400 kilometer.

Tetapi bagi Saravanan Krishnan, perjalanannya ke Batu Caves pada hari Thaipusam bukan sekadar perjalanan jasmani, tetapi juga pengaman rohani seorang penganut Hindu.

“Saya ke sini bagi menunaikan hajat serta menyucikan jiwa dengan membawa kavadi seberat 40 kilogram.

“Tahun ini saya berhajat mahu keluarga dalam keadaan baik, dimurahkan rezeki serta dirahmati tuhan,” kata lelaki 40 tahun yang mula membawa kavadi sejak berusia 12 tahun.

Saravanan antara 1.5 juta penganut hadirin yang mengunjungi kuil Sri Subramaniyar Swamy bagi menyatakan kesyukuran, menunaikan nazar atau menebus dosa masing-masing hari ini.

Thaipusam adalah perayaan yang disambut oleh penganut Hindu di seluruh dunia, semasa bulan penuh Tamil yang dipanggil 'Thai' bagi memperingati hari lahir Dewa Murugan.

Saravanan ditemui Malaysiakini sebelum ritual kavadi dimulakan. Menyambut mesra, beliau tidak lokek bercerita tentang bagaimana proses itu akan dijalankan.

Penganut Hindu yang menyertai upacara itu harus berpuasa selama 28 hari dan menyediakan kelengkapan kavadi menggunakan bulu merak.

Ini kerana, menurutnya, Dewi Saraswati dipercayai akan menggunakan burung cantik itu sebagai kenderaannya .

Gendang dipalu, penari melangkah

Sebelum acara bermula, Saravanan menyucikan diri dengan mandi, bersembahyang dan bertafakur sebelum membaca mantera keagamaan.

Oleh kerana terbiasa, walaupun belum sebilah jarum dicucuk di badannya, Saravanan sudah dapat menjangkakan apa yang akan berlaku, walaupun beliau bakal tidak sedar sepenuhnya.

“Dewa Muniswara suka menari serta sukakan muzik seperti gendang, jadi nanti saya akan turut menari. (ketika diserap)

“Dewa Mariaman dan Dewa Munigam akan menyusul. Kemudian kemudian karakter ini akan saya bawa berulang-ulang tanpa saya sedar,” kata bapa kepada empat orang anak itu.

Saravanan yang datang bersama anggota keluarganya itu kemudian kelihatan memakan daun pokok buluh yang kemudiannya diludah semula.

Beliau kemudian meletakkan penanda di dahi kepada ahli keluarganya yang dikatakan mewakili dewa yang menyerap ke badannya. Saravanan pengsan sekejap.

Kurang dua minit, beliau terjaga semula menjerit-jerit sebelum bilah besi dicucuk di lidahnya. Kavadi seberat 40 kilogram juga digalas di bahu.

Lapan pemuzik tampil, gendang dipalu, dua penari melangkah masuk – semuanya dibayar beliau.

Saravanan kemudian kelihatan sudah memasuki alam rohani yang tak mungkin difahami kita semua. Semakin kuat gendang dipalu, semakin laju Saravanan menari dan karakternya mula berubah-ubah.

Beliau menari sambil berjalan kira-kira 500 meter daripada sebatang sungai berdekatan sebelum tiba di anak tangga pertama Batu Caves.

Walaupun dekat, perjalanan mengambil masa selama dua jam kerana keadaan sesak teruk. Malah, pembawa kavadi sahaja ada di mana-mana dan tidak terkira banyaknya.

Kavita ada Talasemia

Isteri Saravanan, Kavita Govindasamy kelihatan mengiringi suaminya. Kasih sayangnya jelas terpancar apabila beliau sering memberhentikan suaminya dan menyapu minyak angin di kaki buah hatinya yang kemerahan dan luka-luka itu.

Namun tidak lama, Saravanan kembali meneruskan jalan kaki ayamnya ketika cuaca panas terik dan tanah dipijak panas membahang.

Dengan kavadi di belakang, dengan segala kesukaran itu, Saravanan terus mendaki 272 anak tangga di kuil Batu Caves untuk mempersembahkan susu di dan bersedekah.

"Kavadi ini seperti kita tunjuk hormat kita pada tuhan kerana beri kita kehidupan yang baik.

"Selain kita mohon sesuatu yang lebih baik dari tuhan kita mesti beri sesuatu padanya," kata Saravanan.

Bagaimanapun adakah permintaan lelaki pertengahan usia itu termakbul dengan pengorbanannya itu? Jawapannya, ya.

“Saya sakit Talasemia dan saya percaya apabila kita bersedekah dan menjalankan upacara Thaipusam, tuhan akan menyembuhkan penyakit saya dan merahmati keluarga saya,” ujar isterinya.

Kavita menghidap Talasemia peringkat ketiga.

Selesai semuanya, Saravanan, anak kelahiran Kuala Lumpur, itu akan kembali menempuh 400 kilometer kepada kehidupan semasanya.

Tetapi bukan jarak yang penting. Bagi Saravanan, menuju Batu Caves bukan sekadar perjalanan jasmani, tetapi juga rohani.

Lihat Komen
ADS