Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Peminat bola sepak menganggap tindakan segelintir penyokong mempamerkan tifo anjing untuk menghina Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai perkara biasa.

Ini kerana, kata mereka, amalan itu menjadi sebahagian daripada budaya bola sepak di seluruh dunia.

Penyokong tegar pasukan Malaysia, Hadi Khalid berkata perkara itu sebaliknya lebih sopan berbanding amalan lain seperti membakar suar atau berdemonstrasi.

"Mereka berhak buat, jika merasakan (pengurusan) bola sepak di Malaysia pincang dan tidak cekap.

"Saya rasa peminat ketika ini, guna cara ini (untuk mengkritik). Kita nak kritik cara apa lagi? Kalau demonstrasi di pejabat FAM atau (persatuan) negeri, kita ada Akta Perhimpunan Aman (menyekat).

"Ini cara lazim. Saya tidak bersetuju menyatakan (tindakan) ini kurang ajar," katanya yang juga penyokong tegar skuad 'Red Giants' Selangor.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin sebelum ini dilapor berkata tindakan penyokong JDT pada perlawanan Piala Sumbangsih 2015 di Larkin, Johor Bahru Sabtu lalu itu tidak beradab.

Dihubungi Malaysiakini semalam, Hadi yang juga aktivis sosial berkata pihak yang mengkritik tindakan penyokong itu "tidak mengikuti" perkembangan bola sepak dunia.

Hadi kurang pasti sebab penyokong JDT berbuat demikian tetapi merasakan mungkin ada kena mengena dengan keputusan FAM menggantung pemain Pahang Gary Steven Robbat ke JDT kerana melanggar kontrak.

FAM menggantung Gary selama tiga bulan daripada beraksi dalam sebarang kejohanan dan didenda RM50,000.

Budaya 'ultras'

Sementara itu, berkongsi pendapat dengan Hadi, seorang lagi penyokong tegar skuad Harimau Malaya yang mahu dikenali sebagai 'Din' berkata tifo penyokong JDT itu masih “sopan” jika hendak keadaan di luar negara.

"Budaya ultras bola sepak memang macam tu. Siapa yang kata itu bukan budaya kita, memang tak pernah ke stadium rasanya. Saya nak kata (tifo) itu dah kira sopan sebab di luar (negara) lagi teruk!

"Dan bagusnya (kerana) tumpuan terarah ke sepanduk tu. Kalau tak ada itu, lagi teruk orang makilah, lemparlah (objek)," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Daerah Johor Baru Bahru Selatan Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata polis sudah membuka kertas siasatan berhubung insiden itu.

Ia disiasat bawak Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan, lapor Berita Harian hari ini.

Lihat Komen
ADS