Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PMO: Ismail tak tuju pada peniaga Cina saja
Diterbitkan:  Feb 4, 2015 4:46 PM
Dikemaskini: 12:47 PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempertahankan kenyataan seorang anggota kabinetnya, Datuk Seri Ismail Sabri yang mencadangkan agar pengguna memboikot peniaga Cina yang enggan menurunkan harga barang.

Najib melalui kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri menyebut, kenyataan Ismail itu tidak hanya ditujukan kepada peniaga Cina.

“Teguran yang dibuat oleh beliau ditujukan kepada semua peniaga dan bukan kepada peniaga daripada kaum tertentu.

“Selain itu beliau juga mencadangkan agar pengguna menggunakan kuasa beli mereka untuk memaksa peniaga menurunkan harga barang,” kenyataan itu dipetik.

 

Najib juga memberi amaran agar tidak memanjangkan lagi pertelingkahan yang boleh menuju kepada polarisasi kaum.

“Sebarang pertelingkahan yang boleh menujuk kepada polarisasi kaum di negara ini tidak patut dipanjangkan kerana ia hanya akan membawa kemudaratan kepada kita semua,” katanya.

Menurut kenyataan tersebut, perdana menteri turut menegaskan untuk membela dan menjaga kepentingan semua kaum.

Jelasnya, kenyataan Ismail itu bagi menegur peniaga yang enggan menurunkan harga barang, susulan penurunan harga petrol dan diesel.

Ia selari dengan hasrat jemaah menteri yang mahu peniaga lebih bertanggungjawab dan bertimbang rasa.

“Kabinet mahu para peniaga bersifat bertanggungjawab dan bertimbang rasa dalam menentukan harga barang dan perkhidmatan sejajar dengan penurunan harga minyak dan diesel agar pengguna mereka kesan penurunan harga tersebut,” katanya.

Lihat Komen
ADS