Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau akan memberi kenyataan kepada polis selepas lawatan Presiden Indonesia, Joko Widodo selesai.

"Saya dah beritahu polis, selepas lawatan Jokowi selesai saya akan bertemu polis," katanya menjawab soalan wartawan pada sidang media di Hulu Kelang hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini berkata polis akan merakam keterangan Ismail berhubung kenyataan beliau menggesa orang Melayu memboikot perniagaan orang Cina.

Namun, kata Khalid, proses itu tertangguh kerana Ismail "sibuk".

Ismail turut ditanya wartawan jika beliau menyokong kempen melalui satu laman Facebook untuk memboikot perniagaan milik peniaga Cina yang didakwa mempunyai kaitan dengan DAP.

Mengulas perkara itu, Ismail berkata perkara sebegitu harus diabaikan kerana ia akan mengganggu tumpuan sebenar pengguna iaitu menurunkan harga barangan.

"Kita sepatutnya bergerak ke hadapan.

"Lebih baik kita tinggalkan perkara itu kerana kalau kita ungkit-ungkit, perjuangan sebenar kita lupakan iaitu untuk kepentingan semua pengguna," katanya.

Ismail juga mempertahankan "niat" di sebalik kenyataan beliau sebelum ini yang menyeru pengguna Melayu memboikot peniaga Cina yang tidak menurunkan harga barangan.

Menurutnya, semua rakyat Malaysia termasuk daripada kalangan bukan NGO kepenggunaan kini bercakap tentang harga barang.

"Niat saya agar semua harga barang diturunkan.

"Tak pernah (sebelum ini) rakyat Malaysia bercakap soal penurunan harga barang seperti ini," katanya.

Beliau sebelum itu merasmikan Jualan Turun Harga Barang Pasar Tani di pasar tani yang melibatkan Taman Melawati.

Kempen ini melibatkan penurunan 73 jenis barangan di 577 buah pasar tani di seluruh negara.

Jokowi yang dipilih sebagai presiden Indonesia pada Oktober lalu tiba di Malaysia pada 5 Februari untuk lawatan kerja selama tiga hari.

Beliau berlepas dari Kuala Lumpur meneruskan lawatan ke Brunei hari ini.

[Berita penuh menyusul]

Lihat Komen
ADS