Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kabinet mengarahkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengeluarkan penjelasan rasmi berhubung seruan agar pengguna Melayu memboikot peniaga Cina.

Arahan itu disahkan oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai yang berikrar untuk mendapatkan keadilan untuk peniaga Cina terlibat.

Liow yang juga presiden MCA dalam kenyataan bahasa Cina di Facebook menyebut, beliau telahpun menyatakan pendirian partinya kepada Kabinet dan menuntut agar Ismail Sabri menarik balik kenyataan kontroversi itu.

"Kami juga meminta Kabinet merakamkan (tuntutan kami).

Liow berkata beliau telahpun memaklumkan dengan “jelas” kepada Kabinet bahawa kenyataan Ismail Sabri itu menimbulkan perasaan tidak puas hati yang mendalam di kalangan masyarakat Cina.

"Kami menggesa agar Kabinet menyelesaikan isu ini dengan segera untuk mengelakkannya daripada terus membarah,” katanya.

Ismail Sabri ketika ditemui malam ini berkata beliau akan berbincang dengan Liow mengenai perkara itu.

"Saya akan bertemu Liow dan akan bincang apa yang patut," katanya.

Tambahnya, ia akan diadakan secepat mungkin, sebelum sambutan Tahun Baru Cina.

Beliau juga mendakwa, perdana menteri mahu MCA tidak lagi membangkitkan isu tersebut.

"Yang berhormat perdana menteri berpandangan dan kabinet terutamanya, polemik antara MCA dan isu ini sepatutnya dihentikan kerana ia tak untungkan BN.

"Itu tidak baik untuk perpaduan dalam BN. Jadi PM mahu kes ini ditutup terus supaya tak berbangkit," katanya.

Ismail ditemui pemberita selepas satu program bersama sekumpulan anak muda di Petaling Jaya.

Lihat Komen
ADS