Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ahli Parlimen PAS Shah Alam Khalid Samad berpendapat bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin tidak akan memohon pengampunan dari Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, ini kerana sekiranya Anwar berbuat demikian, ia seperti membuktikan bahawa ketua pembangkang itu bersalah di atas tuduhan yang dikenakan ke atasnya.

"Saya tak tahu maklumatnya tetapi saya yakin Anwar tidak akan membuat permohonan (pengampunan) kerana ia membawa pengertian seperti dia bersalah," katanya kepada pemberita selepas sidang media di pejabatnya di Shah Alam.

Sekiranya Anwar memohon untuk mendapatkan pengampunan Yang di-Pertuan Agong, tempoh kelayakannya sebagai MP akan kekal lebih lama.

Dalam hal itu, kerusi tersebut hanya akan dianggap kosong selepas petisyen untuk mendapatkan pengampunan tersebut diputuskan.

Sebaliknya, kelayakan Anwar akan terbatal secara automatik selepas tempoh 14 hari daripada tarikh sabitan dan hukuman, bermula Selasa lalu, sekiranya beliau tidak memohon pengampunan.

Perkara 48 Perlembagaan Malaysia menetapkan bahawa seseorang MP hilang kelayakan jika dihukum penjara tidak kurang daripada dua tahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan dia tidak mendapat pengampunan bebas.

Mahkamah Persekutuan Selasa lalu menolak rayuan Anwar untuk mengenepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang diputuskan Mahkamah Rayuan terhadap sabitan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan di Bukit Damansara pada 26 Jun 2008.

Lihat Komen
ADS