Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata jawatan ketua pembangkang perlu dibincang dan dipersetujui semua pihak dalam Pakatan Rakyat.

Beliau berkata jawatan itu tidak akan memberi kuasa mutlak kepada seseorang pemimpin untuk membuat perubahan terhadap dasar sesebuah parti.

"Yang penting Pakatan bukan milik PAS, PKR atau DAP. Maka siapa nak dijadikan sebagai ketua pembangkang mesti dibincang dan dipersetujui semua. Bagi saya, siapa yang dipersetujui, kita sokong kerana Pakatan Rakyat merupakan gabungan tiga parti.

"Siapa dipilih secara asasnya dijadikan simbol dan sebagai penyelaras kepada Pakatan Rakyat dan bukan seseorang yang mempunyai kuasa mutlak yang boleh merubah atau menidakkan (dasar) parti masing-masing," katanya.

Ahli jawatankuasa PAS Pusat menjawab soalan pemberita berhubung pemimpin yang layak menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang dalam sidang media di pejabatnya di Shah Alam.

Kelmarin Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati Anwar bersalah dalam kes liwat 2 dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun. Anwar kini di penjara Sungai Buloh.

Semalam Setiausaha Politik kepada Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar dilapor berkata parti akan mengadakan mesyuarat khas jawatankuasa parti bagi memutuskan calon yang layak menggantikan Anwar sebelum dibawa ke Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

 

Sementara itu, Khalid berkata pemilihan calon pilihan raya kecil parlimen Permatang Pauh akan ditentukan PKR memandangkan ia kawasan parti itu untuk mempertahankannya dan penting untuk membina momentum bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14.

"Ketiga-tiga parti kena turun untuk memenangkan calon dengan tujuan untuk bina momentum ke arah menghadapi pilihan raya umum ke-14 dan bebaskan Malaysia dari kongkongan BN yang menghalang terlaksananya keadilan.

"Dengan itu juga, kita boleh mencapai kemenangan memulakan proses bebaskan institusi kehakiman supaya dengan itu memungkinkan kita untuk bebaskan Anwar," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS