Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Peguam kanan Datuk S Ambiga menasihatkan pemimpin Pakatan Rakyat supaya mengenepikan masalah dalaman parti.

Sebaliknya Ambiga menegaskan supaya Pakatan memberi fokus kepada pilihan raya umum yang akan datang yang disifatkan sebagai "kritikal", apatah lagi ketiadaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Persoalannya, Anwar kini berada di penjara, bolehkah Pakatan bersatu?

"Saya rasa mereka (Pakatan) boleh kerana mereka bijak.

"Mereka cuma perlu sedikit kuasa serta berhenti dengan masalah politik dalaman.

"Jangan hilang fokus, pilihan raya umum ke-14 adalah pilihan raya yang kritikal.

"Saya fikir nanti di akhirnya apa yang kita perlukan ialah sebuah kepimpinan dari Pakatan Rakyat," katanya.

Ambiga yang juga bekas pengerusi BERSIH 2.0 menegaskan demikian dalam forum 'Masa Depan Politik Tanpa Anwar' anjuran Malaysiakini malam tadi.

Turut menjadi panelis MP Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, MP Batu Tian Chua, MP Kluang Liew Chin Tong dan aktivis sosial Hishamuddin Rais.

Ambiga berkata, BN akan lihat bahawa tindakan menghantar Anwar ke penjara adalah satu kesilapan besar.

Walaupun Anwar berada di dalam penjara, namun pengamal undang-undang itu berkata Anwar sebenarnya bertambah "kuat" memandangkan beliau merupakan lambang perjuangan rakyat dan Pakatan.

Lihat Komen
ADS