Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pakatan Rakyat hari ini mendesak peguam kanan Tan Sri Shafee Abdullah meletakkan jawatan daripada mengetuai satu badan hak asasi dalam Asean.

Mereka "tidak menjangkakan" pengamal undang-undang - yang pernah berkhidmat dengan Umno - itu dapat menjalankan tanggungjawab membela hak asasi memandangkan rekod Umno yang "buruk" dalam isu itu.

Shafee mengetuai mesyuarat ASEAN Intergovernmental Commission on Human Right (AICHR) kali ke-17 pada 11 Februari - sehari selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan atas kesalahan meliwat.

"Bagaimana kita dapat harap Muhammad Shafee untuk menonjol dalam AICHR apabila secara prinsipnya sebagai contoh, parti pemerintah diketuai Umno, adalah pembela paling teruk terhadap pelanggaran hak asasi manusia di Malaysia?

"Selain itu, selepas 58 tahun merdeka, kerajaan kita menarik diri daripada menandatangani konvensyen utama hak asasi PBB (Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu), seperti konvensyen hak sivil dan politik PBB.

"Dengan rekod buruk kerajaan dalam membela hak asasi dan hak kemanusiaan dalam negara, kami tidak jangkakan Muhammad Shafee akan menonjol (dalam badan itu)," kata Ahli jawatankuasa Pusat PAS Dr Hatta Ramli ( atas ) dalam sidang media pagi ini.

Turut hadir dalam sidang media di Lembah Pantai, di ibu negara dua pemimpin Pakatan, MP Alor Setar Gooi Hsiao Leung dan MP Segambut Lim Lip Eng.

Dalam suasana "menekan" dalam negara, Dr Hatta berkata pihaknya tidak yakin Shafee akan mengkritik kepimpinan Najib yang mengekal semula Akta Hasutan atau mencabar penangkapan terhadap ahli politik pembangkang, pelajar, aktivis, dan wartawan bawah akta itu.

Malah, katanya, serangan peribadi Shafee terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam wawancaranya dalam akhbar dan mengancam supaya tindakan diambil terhadap bekas pengerusi bersama BERSIH 2.0 Datuk S Ambiga kerana didakwa menghina mahkamah, mengundang kritikan terhadap etika dan profesionalisme beliau.

"Malaysia amat memerlukan seorang tokoh yang bebas, pendokong hak asasi yang tidak memihak untuk mempengerusikan AICHR," katanya.

Sambil menegaskan bahawa Malaysia mempunyai masa untuk membetulkan keadaan, Dr Hatta berkata pengganti Shafee Abdullah mampu bersuara tanpa "takut dan pilih kasih".

Selain itu, katanya, individu itu perlu mempunyai ketokohan membela hak-hak lain seperti dalam pelajaran, ekonomi, sosial dan kesihatan.

"Shafee tak sampai ke tahap tersebut," katanya sambil mencadangkan antaranya bekas pesuruhjaya Suhakam atau pemimpin NGO dapat menggantikan Shafee.

Lihat Komen
ADS