Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemimpin kontroversi PAS Datuk Phahrolrazi Zawawi mengakui terdapat perbincangan dalam parti berhubung kedudukan presiden mereka Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetapi menafikan beliau terlibat.

"Ada perbincangan dalam PAS untuk buat pertukaran (presiden) sama ada untuk buat pendirian tukar atau tak tukar.

"Masih lagi dalam perbincangan nak kekalkan presiden sekarang. Banyak saranan yang diberi tapi belum ada keputusan muktamad.

"Saya tak terlibat (dalam perbincangan), saya cuma dapat maklum," katanya kepada pemberita pada sidang media di Shah Alam hari ini.

Phahrolrazi hari ini bagaimanapun berkata belum ada keputusan muktamad berhubung langkah terhadap Hadi, yang komitmennya pada Pakatan Rakyat dipertikai.

Phahrolrazi, presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), sebelum ini didakwa antara pihak yang cuba menjatuhkan Hadi.

Selain beliau, turut berdepan dakwaan ialah Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Naib Presiden Datuk Husam Musa dan Pengarah Pilihan Raya PAS Hatta Ramli ( atas ).

Tak campur hal dalaman PAS

Selain itu, bekas timbalan pesuruhjaya PAS Kedah itu menegaskan, PasMa yang digerakkannya hanya NGO yang berada di luar parti dan tidak menyokong mana-mana individu dalam PAS.

”Apa-apa yang berlaku dalam politik kita tak campur. Kita tak terlibat. Kita tegaskan, dalam isu ini ada tuduhan kita (PasMa) nak jatuhkan presiden.

“Kita tak ada mekanisme itu sebab yang tentukan perkara itu ialah perwakilan. Kita tak ada peranan nak tentukan naik turun presiden," katanya lagi.

Sementara itu, bekas exco Kedah itu sekali lagi mengulangi bahawa kerjasama antara PAS dan Umno untuk membentuk kerajaan perpaduan dilihat mudah dijayakan selepas kematian Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Katanya, berbeza seperti kepimpinan terdahulu, pemimpin yang ada dilihat lebih "lembut" dan tidak tegas seperti bekas presiden PAS Allahyarham Datuk Mohd Fadzil Noor dan Nik Aziz.

"Selepas ketiadaan Nik Aziz, perkembangan politik beralih angin sedikit. Sebab itu saya nampak masa depan Pakatan tidak menentu,” katanya.

Lihat Komen
ADS