Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Lebih 1,000 penonton hadir menyaksikan Konsert 'Doa Langit dan Bumi' yang dijayakan empat ikon muzik tanah air di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur semalam.

Konsert amal selama 2 jam 30 minit itu menampilkan persembahan Papa Rock Datuk Ramli Sarip, Datuk M. Nasir, Datuk Hattan dan Awie yang mengalunkan lebih 10 buah lagu berunsurkan alam dan kehidupan.

Hasil jualan tiket akan digunakan bagi mengisi tabung pembangunan pasca banjir AmBank untuk membantu mangsa banjir besar di beberapa negeri yang berlaku akhir tahun lalu.

Memberitahu pemberita kemudiannya, Ramli Sarip berkata penganjuran konsert turut memberi peluang kepada orang ramai untuk bersama-sama golongan artis membantu mangsa banjir.

"Kita semua ada peranan dalam hidup untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang betapa pentingnya semangat perpaduan dalam usaha membantu masyarakat.

"Alhamdulillah, ini merupakan kali pertama konsert sebegini diadakan pada siang hari dan saya rasa gabungan artis-artis ini tidak menjadi masalah dan penonton nampaknya sungguh terhibur," katanya.

Konsert merupakan anjuran Kumpulan AmBank, syarikat rakaman Rasamusic Sdn Bhd dan PWTC.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Pengerusi Kumpulan AmBank Tan Sri Azman Hashim turut hadir.

- Bernama

Lihat Komen
ADS