Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM2.8 juta sebagai agihan dana raya Tahun Baru Cina kepada 8,134 masyarakat Cina di negeri itu bersempena sambutan perayaan itu.

Timbalan setiausaha kerajaan negeri (pengurusan), Samiun Salleh, berkata peruntukan itu diagihkan mengikut daerah seminggu sebelum perayaan kecuali daerah Hulu Terengganu.

"Penerima di Hulu Terengganu akan menerima dana masing-masing dalam tempoh terdekat.

"Sumbangan secara tahunan ini adalah sebagaimana juga agihan kepada masyarakat Melayu dan India pada sambutan perayaan masing-masing," katanya dalam kenyataan hari ini.

Samiun berkata Kuala Terengganu menerima peruntukan paling tinggi iaitu RM1.3 juta untuk diagihkan kepada 3,729 penerima, diikuti Kemaman RM717,700 (2,065 penerima) dan Dungun sebanyak RM418,200 (1,175 penerima).

Beliau berkata daerah Besut pula melibatkan agihan RM191,100 kepada 536 penerima, Marang RM167,300 untuk 471 penerima dan RM18,900 untuk Setiu yang membabitkan 56 penerima.

Agihan dana raya merupakan tradisi tahunan kerajaan negeri sejak 2005 melibatkan kategori keluarga miskin yang akan menerima RM400.

Empat lagi kategori iaitu warga emas, orang kurang upaya (OKU), orang bujang berusia lebih 40 tahun dan ibu atau bapa tunggal menerima dana sebanyak RM300.

- Bernama

Lihat Komen
ADS