Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Idris kesal pembangkang kritik taraf universiti

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh kesal apabila kenyataannya tentang pendidikan tinggi negara kini setaraf dengan di negara maju berterusan dipolitikkan pembangkang.

Beliau berkata fakta sedia ada jelas menunjukkan bahawa pendidikan tinggi di negara ini semakin bertambah baik dan terus menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa.

"Bagaimanapun saya tidak kata kita sudah selesa dan tidak ingin berubah sebab itu kita ada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 yang dijangka diumumkan menjelang akhir Mac ini untuk terus meningkatkan prestasi pendidikan negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan buku 'Destini di Hujung Pelangi' karya pengasas Akademi NLP Malaysia, Md Taib Mat, di Shah Alam hari ini.

Idris mengulas kritikan pembangkang terhadap kenyataan beliau pada Sabtu lepas bahawa pendidikan tinggi negara kini setaraf dengan di negara maju termasuk United Kingdom, Jerman dan Australia dari segi kualiti pendidikan.

Mengulas lanjut, beliau berkata selain aspek pendaftaran penuntut antarabangsa dan taraf universiti, pendidikan tinggi negara boleh dikatakan bertaraf dunia berdasarkan faktor lain seperti pencapaian dalam mata pelajaran apabila 11 institusi pengajian tinggi awam tempatan tersenarai dalam 100 teratas di dunia.

"Berdasarkan QS Ranking by Subject, Universiti Sains Malaysia (USM) berada pada kedudukan ke-28 di seluruh dunia untuk Sains Alam Sekitar, manakala Universiti Putra Malaysia (UPM) pada kedudukan 54 di seluruh dunia untuk Sains Pertanian berdasarkan 'Best Global Universities Rankings'," kata Idris.

Selain itu, beliau berkata Universiti Malaya (UM) tersenarai dalam 100 teratas untuk subjek bahasa moden, sains komputer, kimia dan kejuruteraan elektrik selain mekanikal, aeronautikal dan kejuruteraan pembuatan, manakala USM turut tersenarai dalam 100 teratas untuk kejuruteraan awam dan binaan, kejuruteraan kimia, farmasi dan farmakologi, sains komputer serta sistem maklumat.

UM, UPM dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), menurut Idris, berada pada kedudukan 100 teratas di dunia untuk pendidikan, manakala UKM tersenarai pada kedudukan 100 teratas untuk politik.

Beliau berkata daripada aspek pencapaian ko-kurikulum pula, negara ini tidak kurang hebat apabila seorang penuntut undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Ameera Natasha Moore dinobatkan sebagai pendebat terbaik dalam pertandingan debat wanita antara universiti Cambridge, mengatasi pendebat

dari Cambridge, Oxford dan institusi pengajian terkenal yang lain, manakala pasukan debat dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula menjuarai Kejohanan Debat Parlimen Britain Asia.

Sehubungan itu, beliau meminta pembangkang yang masih berterusan memburukkan kerajaan supaya tidak meneruskan sikap sedemikian kerana ia ternyata tidak menyumbang dalam meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini.

"Pembangkang pada mereka tidak ada yang betul. Janganlah kita buruk-burukkan negara sendiri, kita kena ubah mentaliti. Apa yang saya berikan sebelum ini dan hari ini (mengenai kejayaan pendidikan tinggi negara) adalah fakta yang bukan saya reka tetapi diiktiraf oleh dunia," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS