Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bantuan kemanusiaan tahun ini perlu AS$16.5b

Konflik yang semakin meningkat di beberapa negara tahun ini, bukan sahaja menambah jumlah penduduk lemah yang perlu dibantu tetapi juga kos bagi pelbagai bantuan tersebut.

Setiausaha Bahagian Bagi Hal Ehwal Kemanusiaan dan Penyelaras Bantuan Kecemasan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Valerie Amos berkata:

"Krisis yang sedang kita hadapi tahun ini di Syria dan Iraq, Republik Afrika Tengah, Selatan Sudan, Yaman dan banyak negara lain, bermakna kita perlu mengumpul USD16.5 bilion (RM60.12 bilion) tahun ini untuk membantu mereka yang paling lemah di dunia.

"Lebih 12 juta rakyat di Syria memerlukan bantuan segera dan hampir setiap rakyat Syria terjejas berikutan kejatuhan ekonomi negara itu, kemusnahan infrastruktur penting seperti klinik, hospital dan sekolah-sekolah serta kerosakan bekalan elektrik dan air.

"Kita menghadapi pelbagai cabaran menyumbang kepada kerapuhan dan kelemahan sesebuah negara itu. Pertumbuhan penduduk bermakna krisis ini mungkin berlarutan dengan lebih buruk kerana rakyat terpaksa bersaing untuk mendapatkan ruang, sumber dan pengiktirafan," katanya.

Amos berkata demikian dalam syarahannya bertajuk 'The Future Humanitarian Action' (Tindakan Kemanusiaan Pada Masa Depan) di kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di Kuala Lumpur hari ini.

"Lapan puluh peratus daripada kerja-kerja kemanusiaan sekarang berada di negara-negara dan rantau yang terjejas oleh konflik...jadi kami bekerja keras untuk menyelamatkan nyawa manusia tetapi majoriti mempunyai prospek kecil untuk menikmati masa depan yang selamat," kata beliau.

Amos berkata Malaysia telah menyumbang kepada bantuan kemanusiaan antarabangsa menerusi badan bukan kerajaan (NGO), dengan suara Mercy Malaysia didengar lantang dan jelas di Majlis Agensi Sukarela Antarabangsa (ICVA).

Beliau berkata melindungi orang awam menjadi tumpuan tugas kemanusiaan PBB.

Mengenai bencana alam seperti tsunami, beliau berkata terdapat keperluan untuk memujuk penderma menyalurkan wang mereka lebih kepada respons kecemasan daripada usaha mencegah dan mengurus risiko.

"Di Malaysia, kesiapsiagaan bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, masyarakat sivil dan sektor swasta sudahpun melibatkan diri.

"Saya harap masyarakat akademik turut melibatkan diri misalnya menerusi penyelidikan dan pengumpulan keterangan.

"UTM boleh menggunakan pengalaman dan pangkalan ilmunya untuk mengenal pasti masalah, berikhtiar dan mencari jalan penyelesaian yang kreatif dan inovatif terhadap risiko yang berulang," kata beliau.

- Bernama

Lihat Komen
ADS